SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebulat suara bersetuju untuk menawarkan semula jawatan presiden parti itu kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan pembebasannya daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram pada Rabu.
Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, persetujuan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Muda yang bermesyuarat pada hari sama Ahli Parlimen Muar itu dibebaskan.
Menurutnya, tawaran tersebut dibuat berdasarkan dua prinsip iaitu Syed Saddiq telah membersihkan nama dan integriti beliau melalui proses mahkamah yang telus dan adil serta bekas Menteri Belia dan Sukan itu dengan secara konsisten mempertahankan maruah dan nama baik parti sepanjang menjadi ahli Parlimen.
"Jawatan Presiden Muda yang disandang YB Syed Saddiq telah dikosongkan sepanjang proses mahkamah berlangsung dan dipangku oleh saya, Timbalan Presiden. Saya juga perlu merekodkan keputusan parti untuk mengosongkan kerusi sepanjang proses pendakwaan adalah satu iltizam politik yang tidak pernah lagi dibuat mana-mana pemimpin politik Malaysia yang sedang didakwa di mahkamah.
"JKEP berpandangan bahawa dengan kembalinya YB Syed Saddiq dalam tampuk kepimpinan parti, beliau dapat mengukuhkan parti terutamanya dalam usaha mengemudi parti bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Rayuan pada Rabu melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tujuh tahun lalu.
Ia membabitkan satu kes subahat pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta sebanyak RM120,000 serta dua pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA), masing-masing berjumlah RM50,000.
Terdahulu, Syed Saddiq pada November 2023 mengumumkan mengosongkan jawatan Presiden Muda berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan beliau membersihkan nama daripada sabitan hukuman oleh mahkamah yang dihadapi.
Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, JKEP dalam masa sama juga menghormati keperluan wakil rakyat berusia 33 tahun itu mempertimbangkan tawaran tersebut dan turut bersetuju untuk memberikan ruang yang secukupnya kepada beliau.
"Selepas lima tahun berdepan dengan pendakwaan dan proses mahkamah, saya amat memahami keperluan untuk parti memberikan ruang yang cukup untuk YB Syed Saddiq memberi keutamaan kepada urusan keluarga sendiri sebelum kembali menggalas amanah sebagai presiden.
"Bagi saya, keluarga lebih utama. Saya juga ingatkan bahawa YB Syed Saddiq masih berkhidmat sepenuh masa sebagai Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dan kawasan Parlimen Muar. Politik khidmat YB Syed Saddiq tidak pernah culas," katanya.
Beliau menambah, Muda juga akan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Syed Saddiq dan memohon agar rakyat Malaysia sentiasa mendoakan kemudahan kepada parti itu membina negara.