SHAH ALAM – Nik Nazmi Nik Ahmad harus kekal dalam prinsip untuk meletakkan jawatan setelah kalah dalam semua pertandingan peringkat cabang dan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), selari dengan prinsip reformasi yang dipegang.
Bekas Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR, Iswardy Morni berkata, jawatan menteri bukanlah mandat rakyat, sebaliknya merupakan lantikan Perdana Menteri kerana kedudukan Nik Nazmi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurutnya, kelaziman yang sama turut berlaku melibatkan pemimpin daripada parti lain.
“Mandat rakyat ialah jawatan dia sebagai Ahli Parlimen.
“Yang tidak wajar ialah jika dia meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Itu tidak wajar,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
**media[3169292]**
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin ketika menjawab mengenai status Nik Nazmi dalam Kabinet, memaklumkan tempoh cuti bekas Naib Presiden PKR itu akan tamat minggu ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan kerajaan masih memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk menyambung tugasnya.
Iswardy menambah, beliau percaya keputusan yang dibuat oleh Nik Nazmi adalah kerana menyedari ahli parti telah menolaknya sebagai pimpinan parti.
“Dengan itu, pimpinan baharu wajar diberi jawatan yang lebih tinggi.
“(Datuk Seri R) Ramanan, selaku Naib Presiden baharu PKR, patut diangkat menjadi menteri penuh menggantikan Nik Nazmi dan (Datuk Seri) Amirudin Shari pula patut diangkat menjadi Menteri Ekonomi kerana pengalamannya mentadbir Selangor,” katanya.
Sehubungan itu juga, beliau berpandangan bahawa Nurul Izzah Anwar wajar diangkat menjadi Menteri Besar Selangor setelah menang jawatan Timbalan Presiden.
“PRK (pilihan raya kecil) patut diadakan sebagaimana berlaku dalam Langkah Kajang,” katanya.