Pas syukur, Hadi Awang selamat jalani rawatan

KUALA LUMPUR – “Pas melafazkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan Tan Sri Abdul Hadi Awang.”

Demikian kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan kejayaan Presiden Pas itu menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Rabu.

Menurut beliau, prosedur berkenaan telah dilaksanakan mengikut perancangan dan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.

“Pas turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan pakar dan petugas kesihatan IJN atas kejayaan tersebut. Kepakaran, kecekapan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan amat kami hargai,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Takiyuddin turut menyeru ahli Pas serta seluruh rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan negara.

“Kita berharap negara ini sentiasa berada dalam lindungan Tuhan dan dijauhi daripada sebarang bencana, musibah serta wabak penyakit,” ujarnya.