Gesaan Pas agar LRT Laluan Mutiara dibatalkan tidak wajar

GEORGE TOWN - Gesaan Pas agar projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dibatalkan disifatkan sebagai tidak wajar dan amat mengecewakan.

Ini kerana, projek berkenaan sedang menunjukkan kemajuan yang ketara selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kerja fizikal projek berkenaan akan bermula dalam tempoh sebulan hingga dua bulan akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng berkata, usaha menghalang kemajuan projek LRT seolah-olah menunjukkan Pas tidak mengutamakan pembangunan negeri lain, khususnya Pulau Pinang, yang kini sedang giat memperbaiki sistem pengangkutan awam dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

"Baharu semalam menteri memaklumkan bahawa kerja-kerja fizikal pembinaan LRT akan bermula malah pihak MRT Corp kini dalam proses pengambilan jurutera yang dijadualkan hujung minggu ini.

"Sehubungan itu, gesaan oleh Pas itu tidak wajar kerana projek tersebut akan bermula dalam tempoh terdekat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang turut membandingkan tahap pembangunan ekonomi antara Pulau Pinang dan negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas berdasarkan statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2023.

“Kelantan hanya mencatatkan RM16,836, Perlis RM24,004, Kedah RM26,353 dan Terengganu RM31,111. Sebaliknya, Pulau Pinang mencatatkan RM72,586 iaitu lebih dua kali ganda berbanding Terengganu dan empat kali ganda berbanding Kelantan,” katanya.

Tambah Joshua, Kerajaan Perpaduan tetap komited membantu pembangunan negeri-negeri pembangkang walaupun berbeza pentadbiran.

"Sebagai contoh, pelaksanaan inisiatif bas awam BAS.MY di Alor Setar, Kedah yang mula beroperasi 1 Jun lalu dengan 44 hentian, serta kemajuan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini telah mencapai 82.45 peratus setakat April 2025.

“Kerajaan Perpaduan tidak pernah menentang projek-projek pembangunan di negeri pembangkang malah kita menyokongnya demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LRT Laluan Mutiara bukan sahaja berperanan sebagai sistem pengangkutan moden, malah berpotensi mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan merangsang limpahan ekonomi merentasi pelbagai sektor.

“Paling penting, ia menyediakan penyelesaian mampan terhadap kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di Pulau Pinang," ujarnya.

Beliau juga menasihatkan pemimpin Pas agar menumpukan perhatian kepada keperluan rakyat di negeri yang mereka tadbir dan bukan menyekat pembangunan negeri lain.

“Biarlah Pulau Pinang terus mara dengan infrastruktur dan kemajuan yang sewajarnya untuk rakyatnya,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keutamaan perbelanjaan infrastruktur negara dengan memindahkan peruntukan projek LRT Laluan Mutiara kepada usaha menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat dari Gerik ke Jeli.