Tiada cawangan UMNO Kota Raja ditutup - Megat Zulkarnain

SHAH ALAM – Tiada penutupan cawangan UMNO di Kota Raja, malah jumlah keahlian terus menunjukkan peningkatan dan itulah gambaran semangat juang yang masih membara di kawasan tersebut.

Demikian tegas Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang melahirkan rasa syukur kerana meskipun bahagian tersebut berdepan kemelut kebelakangan ini, kekuatan dan kesatuan ahli tetap utuh.

Beliau turut menyatakan rasa bangga apabila Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar bersama ketiga-tiga pimpinan sayap serta keseluruhan jawatankuasa dapat meneruskan aktiviti bahagian itu seperti biasa.

“Yang pergi, biarlah pergi, sudah biasalah dalam UMNO ini. Pemimpin datang dan pergi. Mereka yang tinggal akan berjuang membawa panji perjuangan, dan Kota Raja juga tidak terkecuali,” katanya kepada pemberita.

**media[3160732]**

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, malam tadi.

Tambah beliau, Abdul Raof akan memangku jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja sehingga pemilihan parti akan datang, susulan peletakan jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Megat Zulkarnain berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi berhubung perkara itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Terdahulu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu berkuat kuasa pada 31 Mei lalu.

Dalam pada itu, tegas Megat Zulkarnain, UMNO bukan sebuah parti politik yang terlalu bergantung kepada personaliti seseorang, sebaliknya parti yang berjuang secara kolektif.

“Kita pastinya menyahut. Saya tidak mahu melihat isu Tengku Zafrul ini menjadi sebab UMNO Selangor tidak boleh bergerak ke mana-mana. Yang tinggal mesti meneruskan perjuangan. UMNO ini bukan kerana seorang personaliti, UMNO adalah kita.

“Malam ini kita lihat semangat kekitaan. Saya tidak mahu terganggu dengan keputusan itu, malah siang tadi saya berjumpa beliau (Tengku Zafrul) dalam satu majlis di Matrade,” katanya.

Megat Zulkarnain turut memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Tengku Zafrul dan persahabatan mereka masih seperti sediakala.

“Persahabatan seperti biasa, tetapi prinsip partinya berbeza. UMNO Selangor tidak boleh terganggu dengan keputusan ini. Perjuangan mesti diteruskan dan saya bertanggungjawab untuk memandu UMNO Selangor.

“Saya bangga kerana hari ini saya dapat melihat kesungguhan ahli-ahli, jawatankuasa serta sayap-sayap yang hadir tanpa sebarang bantuan. Mereka datang untuk menyahut panggilan Badan Perhubungan. Ini satu tanda yang baik. Saya percaya momentum ini dapat diteruskan,” tambahnya.