SHAH ALAM – Rancangan memberhentikan 5,000 pekerja Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sepatutnya dilaksanakan secara berperingkat dengan penyediaan latihan keusahawanan dan bantuan modal bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun mereka hanyalah pekerja berstatus kontrak, kebanyakan daripada mereka telah lama menabur bakti kepada syarikat dan dalam masa sama perlu menyara keluarga.
Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, tindakan memberhentikan pekerja secara besar-besaran tanpa peluang latihan atau sokongan tertentu disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Dana-dana yang lazim digunakan untuk membantu usahawan sepatutnya digunakan untuk membantu mereka berdikari. Kerajaan perlu bertanggungjawab menangani isu ini.
“Tidak dinafikan Petronas sedang menghadapi cabaran besar. Tahun lalu, Petronas mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM55.1 bilion, penurunan sebanyak 32 peratus berbanding RM80.7 bilion pada tahun sebelumnya.
“Dalam menghadapi cabaran global termasuk kejatuhan harga minyak dunia dan trend peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, Petronas memerlukan pelan jangka panjang bagi memastikan kelestarian serta daya saing sebagai syarikat milik negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz memaklumkan bahawa Petronas akan memberhentikan kira-kira 10 peratus tenaga kerja dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak dan gas nasional itu.
Bagaimanapun, Tengku Muhammad Taufik menafikan dakwaan bahawa Petronas akan menarik diri daripada operasinya di Kanada.
Perkara tersebut turut dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pekerja yang terlibat merupakan kakitangan kontrak.
Muhyiddin turut berpandangan bahawa sekiranya krisis global ditambah dengan pertikaian berterusan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), seluruh industri minyak dan gas termasuk tenaga kerjanya bakal terjejas.
Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, kepentingan Petronas dan para pekerjanya wajar sentiasa dilindungi oleh kerajaan kerana syarikat tersebut menyumbang dividen yang besar serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
“Pada masa ini, terdapat kira-kira 70,000 pekerja dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia.
“Kerajaan juga perlu berhemah dalam penggunaan dana Petronas memandangkan hutang negara terus meningkat dan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya, yang akhirnya memberi kesan kepada aliran tunai Petronas sendiri.
“Justeru, kerajaan wajar segera membentangkan pelan kelestarian Petronas serta hala tuju industri minyak dan gas negara bagi menjamin masa depan sektor strategik ini,” katanya lagi.