KOTA KINABALU - Pembahagian jumlah kerusi bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum dibincangkan setakat ini, kata Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Bagaimanapun, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, jentera pilihan raya gabungan itu kini sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Katanya, beberapa siri kursus di setiap kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diadakan bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“Apa yang jelas, GRS sudah bersedia. Kita telah menubuhkan jentera pilihan raya dan mengadakan beberapa siri kursus untuk menghadapi pilihan raya.
“Namun begitu, soal pembahagian jumlah kerusi belum dibincangkan,” katanya selepas menyempurnakan Program Ibadah Qurban Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran 2025 di sini pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, beliau bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; serta ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin.
Bercakap pada majlis tersebut, Hajiji berharap sambutan Hari Raya Aidiladha membawa kesedaran kepada rakyat, khususnya umat Islam, tentang pentingnya semangat kerjasama dan pengorbanan demi kepentingan bersama.
“Ini kerana dalam perayaan Hari Raya Aidiladha ini, pengorbanan bukan sahaja melibatkan ternakan, tetapi juga dalam kehidupan seharian sebagai manusia, kita perlu bertolak ansur, bekerjasama dan sanggup berkorban untuk kebaikan bersama.
“Ini bermakna kita perlu mementingkan perpaduan dan juga masa depan rakyat yang berbilang kaum di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, Hajiji menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Haji Noor, Kampung Serusop, bersama kira-kira 1,000 jemaah.