PM perlu segera isi kekosongan jawatan Menteri Ekonomi - Gerakan

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa segera mengisi kekosongan jawatan menteri dalam Kabinet susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, kekosongan tersebut khususnya bagi jawatan Menteri Ekonomi tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana boleh memberi impak besar kepada pembangunan dan kestabilan ekonomi negara.

Menurut beliau, Perdana Menteri perlu membuat keputusan tepat dan pantas selain bijak melantik pengganti yang benar-benar layak serta berwibawa.

“Ini bukan masa untuk silap memilih calon pengganti yang paling layak. Keputusan ini penting demi negara dan rakyat, lebih-lebih lagi dengan cabaran ekonomi yang kita hadapi dalam enam bulan pertama tahun ini.

“Kita berdepan isu-isu seperti tarif Amerika Syarikat, pemotongan subsidi serta ancaman inflasi. Dalam keadaan ini, kita perlukan seorang Menteri Ekonomi yang boleh tampil dengan penyelesaian dan menjaga kestabilan ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai, susulan kekalahan mereka dalam Pemilihan PKR 2025 minggu lalu.

Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden, manakala Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden.

Chia Zhen yang juga Pengerusi Gerakan Kedah berkata, kekosongan jawatan tersebut juga berlaku pada waktu kritikal memandangkan kerajaan dijadualkan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bulan depan.

“RMK13 bukan sekadar pelan untuk PKR tetapi pelan untuk negara kita, negeri dan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang. Oleh itu, pelantikan segera seorang menteri yang kompeten amat penting,” katanya.

Menurutnya lagi, perselisihan dalaman parti berkenaan ekoran pemilihan parti telah membawa kepada ketidaktentuan dalam lanskap politik negara, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap pentadbiran kerajaan.

“Sebagai parti yang mempunyai ramai menteri dan timbalan menteri, tidak sepatutnya membiarkan urusan dalaman memberi kesan kepada pentadbiran negara, lebih-lebih lagi dalam isu penting seperti pembangunan ekonomi dan pelaksanaan RMK13,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chia Zhen mempersoalkan kelulusan cuti yang diberikan kepada kedua-dua bekas menteri Kabinet tersebut.

“Kerajaan tidak boleh hanya sekadar ‘meluluskan cuti’ dua menteri ini. Siapa yang sedang menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka? Ini mesti dijelaskan kepada rakyat.

“Jangan biarkan urusan dalaman parti menjejaskan pembangunan ekonomi atau pembangunan negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan masih belum memutuskan pengganti Rafizi dan Nik Nazmi kerana mereka masih bercuti.

Rafizi memulakan cuti tahunan pada 28 Mei sebelum peletakan jawatannya berkuat kuasa 17 Jun, manakala Nik Nazmi akan bercuti sehingga 4 Julai.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim itu turut memuji tindakan Rafizi dan Nik Nazmi yang disifatkannya sebagai berani dan berprinsip kerana menunaikan janji meletakkan jawatan selepas tewas dalam pemilihan parti itu.

“Dalam politik negara kita, sangat jarang melihat tokoh yang berani dan gentleman seperti mereka. Saya puji mereka kerana berani mengambil tanggungjawab sepenuhnya selepas kalah pemilihan parti,” katanya.