Pemuda MCA gelar DAP musang berbulu ayam, dedah wajah sebenar

SHAH ALAM - Kenyataan Naib Presiden DAP, Syahredzan Johan yang menyuruh MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai angkuh hanya kerana tidak tahan dengan teguran yang dibuat demi kebaikan rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, turut mendakwa parti berkenaan ibarat musang berbulu ayam yang rakus dan mementingkan diri sendiri selepas berkuasa.

“Terima kasih DAP si musang berbulu ayam kerana telah membuka topeng dan menunjukkan wajah sebenar mereka sebagai penghasut serta pemecah-belah semata-mata mahu menguatkan diri sendiri.

“Mereka semakin rakus setelah berkuasa dan pentingkan diri sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, Syahredzan menyifatkan adalah lebih baik MCA keluar sahaja daripada Kerajaan Perpaduan berikutan tindakan pemimpin parti itu, khususnya Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang didakwa terus-menerus menyerang Kerajaan Madani dengan fakta tidak tepat.

Choo Seong menambah, kenyataan Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian, baru-baru ini juga jelas menggambarkan situasi tersebut.

“Tepat sekali apa yang pernah diperkatakan oleh Timbalan Premier Sarawak beberapa hari lepas bahawa kestabilan politik berpanjangan di Sarawak disebabkan DAP tidak pernah menjadi sebahagian kerajaan negeri dan parti itu hanya tahu memecah-belahkan,” ujarnya.

Choo Seong turut mempersoalkan reaksi keterlaluan DAP terhadap tindakan MCA yang lantang bersuara dalam isu rakyat.

“Kenapa DAP begitu triggered atau terkesan emosinya apabila MCA mengangkat suara rakyat, memperjuangkan isu negara dan menyatakan kebenaran?” soalnya.

Menurut beliau, antara isu yang diketengahkan MCA termasuklah penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kos MyKiosk dan yang terbaharu, isu tong gas petroleum cecair (LPG).

“Salahkah MCA membela nasib rakyat? Jika DAP tidak mampu membantu rakyat atau menyelesaikan masalah, maka pergilah balik rumah goyang kaki dan tidur.

“Rakyat ada MCA dan BN. Kami sentiasa mendahulukan rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Choo Seong memaklumkan bahawa Pemuda MCA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menjadi antara yang terawal membidas Syahredzan.