Tindakan Tengku Zafrul keluar UMNO, pengajaran berharga untuk parti - Md Jais

JOHOR BAHRU - Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan kesemua jawatan dalam UMNO bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dijadikan iktibar oleh pimpinan dan ahli UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Jais Badray.

Menurut Md Jais, pengumuman secara terbuka oleh Tengku Zafrul di media sosial itu jelas menunjukkan bahawa keputusan tersebut bukan bersifat spontan, sebaliknya telah dirancang dengan teliti.

Malah katanya, tidak mustahil wujud ‘sutradara’ di sebalik pergerakan politik tersebut.

“Apa yang pasti, beliau telah meninggalkan UMNO. Kita biarkan beliau melangkah dan pertimbangan keanggotaan dalam PKR itu kita serahkan kepada parti berkenaan.

“Bagi kita di UMNO, barang yang lepas jangan dikenang, namun pengajarannya perlu dimanfaatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, dan ahli UMNO.

Tambah Md Jais, tindakan Tengku Zafrul seharusnya menjadi pengajaran, khususnya dalam soal pelantikan tokoh korporat ke dalam parti.

“Apakah pengajarannya kepada kita, orang UMNO? Pertama, jangan ulangi keghairahan melantik tokoh korporat atau teknokrat ke dalam hierarki parti tanpa melalui proses parti. Mereka mungkin mempunyai kemahiran teknikal dan imej yang baik, tetapi belum tentu memahami denyut nadi perjuangan UMNO.

“Kedua, berikan kepercayaan dan peluang kepada tokoh profesional yang telah melalui proses parti, yang telah lama berjuang bersama UMNO walaupun tidak begitu dikenali. Kesetiaan dan kefahaman terhadap asas perjuangan parti lebih penting daripada nama besar atau profil korporat,” katanya.

Menurut Md Jais, Tengku Zafrul merupakan seorang tokoh korporat yang dilantik sebagai menteri ketika pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun 2020.

Dakwanya, pelantikan Tengku Zafrul sebagai menteri mewakili kuota UMNO ketika itu tidak dibincangkan secara terperinci dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pelantikan itu nyata berbeza dengan tokoh-tokoh teknokrat yang dilantik UMNO sebelum ini untuk membantu kerajaan, antaranya seperti Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (bekas Penasihat Bank Negara), Tan Sri Idris Jala (bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS dan Shell), dan Tan Sri Abdul Wahid Omar (bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank).

“Namun berbeza dengan Tengku Zafrul, ketiga-tiga tokoh ini tidak mencampuri urusan parti. Mereka hanya fokus kepada peranan dan tanggungjawab dalam kerajaan, walaupun pernah ada usaha membawa mereka ke dalam kepimpinan parti.

“Tetapi Tengku Zafrul pula telah meletakkan dirinya dalam struktur hierarki UMNO, memegang jawatan penting dalam parti tanpa melalui proses biasa yang dilalui oleh ahli lain. Justeru tindakannya meninggalkan parti menimbulkan persoalan terhadap ketulenan komitmennya terhadap perjuangan UMNO,” katanya.

Sementara itu, Md Jais menegaskan bahawa UMNO adalah sebuah parti perjuangan yang lahir daripada semangat kebangsaan untuk memelihara agama Islam, bangsa Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kedaulatan Tanah Melayu.

“Parti perjuangan ini tidak boleh dikorporatkan. Namun, sekiranya ada usaha membawa masuk tokoh profesional dari luar, mereka mestilah menepati nilai, semangat dan disiplin perjuangan parti, bukan sekadar tampil dengan reputasi di luar yang cemerlang,” katanya.