Ramanan, Kamil Munim disebut-sebut bakal isi kuota PKR

SPEKULASI mengenai rombakan Kabinet terus hangat diperkatakan dengan jangkaan bahawa dua orang kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Seri R Ramanan dan Muhammad Kamil Abdul Munim bakal mengisi kuota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Kabinet.

Ramanan yang kini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dijangka naik pangkat sebagai menteri penuh susulan kemenangannya sebagai Naib Presiden dalam pemilihan parti baru-baru ini.

Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan pula mungkin akan dibawa masuk atas pertimbangan kemenangannya sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baharu.

Mahu atau tidak, rombakan Kabinet perlu dilakukan susulan kekosongan jawatan yang ditinggalkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian menjangkakan rombakan Kabinet berlaku sebaik sahaja kedua-dua pemimpin tersebut selesai tempoh cuti mereka dengan Perdana Menteri dilihat akan menghormati keputusan Rafizi dan Nik Nazmi.

**media[3147968]**

Menurutnya, selain mengisi kekosongan itu, rombakan ini juga berkemungkinan menyaksikan penyusunan semula portfolio beberapa menteri sedia ada serta membawa masuk muka-muka baharu, termasuk pemimpin muda seperti Muhammad Kamil.

Sivamurugan menjelaskan, Setiausaha Politik Anwar itu wajar diberi peluang sebagai anggota Kabinet, sebagai usaha untuk memulihkan keyakinan anak muda terhadap kepimpinan kerajaan.

“Beliau telah menang jawatan Ketua AMK dan berpengalaman sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan. Kenapa tidak diberikan peluang untuk berada dalam Kabinet?

“Ini juga mungkin boleh memulihkan keyakinan dalam kalangan anak-anak muda bila seorang pemimpin muda diberikan jawatan yang agak strategik di dalam Kabinet.

“Begitu juga Ramanan yang telah menang jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini. Beliau mungkin dipertimbangkan untuk dinaikkan daripada Timbalan Menteri kepada Menteri penuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, berdasarkan hierarki jawatan dalam parti, ada yang menimbulkan persoalan tentang keperluan untuk anak Anwar iaitu Nurul Izzah yang baru sahaja memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR menganggotai Kabinet.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan kenyataan Nurul Izzah sebelum ini, beliau tidak berminat untuk berada dalam Kabinet sebaliknya mahu menumpukan tanggungjawab dalam parti terlebih dahulu.

Sivamurugan turut menekankan bahawa rombakan kali ini mungkin menjadi peluang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk Anwar memantapkan barisan pentadbirannya.

“Tempoh masa Anwar sudah masuk tahun ketiga pada November ini. Beliau ada masa sekitar dua setengah tahun untuk memastikan keyakinan dan kestabilan kerajaan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Portfolio

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, nama Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga sering disebut untuk portfolio Kementerian Ekonomi memandangkan kredibiliti dan pengalaman luasnya dalam bidang ekonomi.

Bagaimanapun, keputusan akhir tetap bergantung kepada perbincangan Anwar dengan parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Bagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula katanya, situasi agak rumit kerana akan tamat tempoh sebagai Senator dalam beberapa bulan lagi.

Satu-satunya jalan untuk membolehkannya kembali ke Kabinet adalah melalui kekosongan kerusi Parlimen atau pilihan raya kecil, sesuatu yang dilihat sebagai langkah sukar kerana boleh mengundang persoalan rakyat.

Namun, Sivamurugan mencadangkan Tengku Zafrul mungkin boleh dilantik sebagai Penasihat Ekonomi atau Penasihat Perdagangan Antarabangsa kepada Perdana Menteri, sepertimana Shahril Sufian Hamdan pernah dilantik sebagai Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pada masa ini, masih wujud kekosongan jawatan sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat. Apakah beliau mahu mengambil jawatan itu terlebih dahulu atau beliau akan membuat keputusan keluar UMNO dan menyertai PKR sebagaimana khabar angin yang timbul beberapa bulan yang lepas.

“Jika itu berlaku, boleh buat pilihan raya kecil tapi kalau dibuat semata-mata untuk beliau masuk, itu akan menyebabkan rakyat menyoal, kenapa perlu dikosongkan? Kenapa tidak tunggu sampai pilihan raya akan datang.

"Jadi, saya percaya Perdana Menteri mungkin sudah ada perancangan untuk Tengku Zafrul,” jelasnya.

Beliau turut menjangkakan bukan sahaja Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sahaja yang terlibat dalam rombakan kecil kali ini.

“Beberapa ketua sayap lain juga dijangka terlibat seperti Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mempertahankan jawatan sebagai Ketua Wanita PKR dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mungkin akan dinaikkan daripada Timbalan Menteri ke Menteri atas kapasiti beliau selaku Ketua Wanita UMNO,” jelasnya.

Persepsi

Dalam pada itu, Pakar Komunikasi Politik, Perhubungan Awam Kerajaan dan Perang Saraf dari Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berpandangan bahawa walaupun secara tradisinya kedudukan dalam parti mempengaruhi peranan dalam kerajaan, pelantikan Nurul Izzah sebagai menteri juga perlu dilihat daripada sudut kemampuan.

**media[3147967]**

Selain itu, perkara yang perlu dielakkan oleh Perdana Menteri ialah persepsi umum tentang sesuatu keputusan yang dibuat.

“Apabila Nurul Izzah dilantik menjadi menteri, ini secara langsung memberi gambaran kepada sebahagian ahli PKR, pemerhati politik dan rakyat Malaysia secara umum bahawa itu mengiakan apa yang Rafizi sendiri pernah cakap, laluan mudah untuk berada dalam kerajaan.

“Maksudnya, benarlah dakwaan dengan kemenangan merangkul jawatan Timbalan Presiden PKR itu sebenarnya merit yang melayakkan Nurul Izzah berada secara automatik dalam Kerajaan Perpaduan sebagai menteri,” ujar beliau.

Bagaimanapun, pada masa sama, ia juga peluang keemasan untuk Nurul Izzah menyinar dan beliau tiada peluang lain memandangkan rombakan Kabinet biasanya tidak dibuat berulang kali.

Beliau turut berpendapat pelantikan Kabinet perlu mendapat konsensus semua parti gabungan, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Jika PMX mahu merapatkan jurang dengan Sabah misalnya, mengapa tidak lantik Ahli Parlimen Sabah yang belum ada jawatan menteri atau naikkan Timbalan Menteri dari Sabah jadi menteri penuh? Ini boleh membantu memperkukuhkan sokongan GRS-PH menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya.