KEPUTUSAN Datuk Seri Rafizi Ramli untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana bayangan perkara itu telah dibuat sejak awal lagi.
Beliau sebelum ini secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR, sebagai langkah menghormati mandat akar umbi.
Justifikasinya jelas, kekalahan kepada Nurul Izzah Anwar menunjukkan beliau tidak lagi memiliki mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat ke dalam program kerajaan.
Langkah drastik itu sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatan Rafizi yang penuh kontroversi tetapi sarat dengan inisiatif berimpak tinggi seperti program Pangkalan Data Utama (PADU), Indeks Pembangunan Rakyat (IPR) dan Skim Gaji Progresif.
Persoalan kini terarah ke mana hala tuju politik Rafizi selepas ini dan sama ada program-program tersebut akan diteruskan oleh kerajaan atau dibiarkan terhenti separuh jalan tanpa figura utama yang menjadi pencetusnya.
Menurut penganalisis politik yang juga Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, Rafizi dijangka mengambil langkah untuk membina pengaruh peribadi di luar pentas rasmi politik, mirip langkah yang diambil oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ).
“Saya melihat Rafizi akan memilih untuk mencipta jenama sendiri di khalayak ramai, mungkin melalui platform seperti Invoke, podcast atau saluran interaksi lain. Beliau akan kekal relevan dalam ruang perbincangan politik tetapi tidak dikaitkan secara langsung dengan parti.
“Itu adalah potensi paling besar untuk Rafizi lakukan selepas ini sebagai game plan sekiranya beliau tidak lagi aktif dalam parti,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau tidak melihat potensi untuk Rafizi menubuhkan parti baharu.
“Kita tahu menubuhkan parti baharu bukan satu perkara yang mudah untuk mendapatkan dukungan kerana parti politik di negara kita sudah terlalu rencam.
“Apabila pilihan raya tiba, hanya dua atau tiga gabungan besar sahaja yang menjadi pilihan pengundi. Jadi, saya tidak nampak Rafizi akan tubuh parti baharu kerana ia bukan satu pilihan yang baik,” jelas beliau.
Bagaimanapun, kemungkinan itu tetap ada jika beliau membuat pilihan untuk bekerjasama dengan parti utama yang lain.
Ditanya mengenai masa depan program-program ekonomi yang diperkenalkan oleh Rafizi, Hisommudin berkata, dasar tersebut mungkin akan diteruskan kerana ia telah menjadi polisi kerajaan, tetapi tidak lagi menjadi tumpuan kepada menteri yang bakal menggantikan beliau.
Hisommudin berkata, menteri baharu akan cuba mencari satu ‘niche’ atau idea baharu yang boleh menjadi jenamanya sendiri.
Keluar parti
Sementara itu, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berpendapat, Rafizi tidak akan mengambil risiko keluar parti kerana terikat dengan undang-undang antilompat parti yang boleh menyebabkannya kehilangan kerusi Parlimen.
“Kalau keluar parti, Rafizi akan kehilangan kerusi. Itu bukan pilihan yang bijak untuk jangka masa pendek.
“Pilihan paling selamat adalah Rafizi kekal dalam PKR dengan memainkan peranan minimum. Dari situ, beliau boleh memantau prestasi parti. Kalau PKR merosot, mungkin akan ada tekanan daripada akar umbi untuk beliau kembali menerajui parti pada masa sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, Anis tidak menolak kemungkinan Rafizi akan menyertai parti lain yang lebih kukuh jika ada peluang kerjasama yang strategik dan sesuai dengan cita rasanya.
Keputusan itu jelasnya, bergantung kepada rundingan dengan pimpinan parti lain dan prospek politik jangka pendek hingga sederhana.
Sekiranya ada ruang kerjasama yang baik atau keserasian agenda, ia juga boleh menjadi pendorong untuk dipertimbangkan Rafizi.
Pada masa sama, beliau melihat landskap politik Malaysia masih terlalu bergantung kepada personaliti dan belum mencapai tahap kematangan yang membolehkan dasar diteruskan secara konsisten meskipun berlaku perubahan pemimpin.
“Legasi dasar yang diperkenalkan oleh Rafizi seperti PADU, IPR dan Skim Gaji Progresif mungkin kekal di atas kertas, tetapi budaya kerja di kementerian lazimnya bertaut rapat dengan gaya dan visi menteri.
“Menteri baharu hampir pasti akan menyusun semula keutamaan untuk menyerlahkan agenda mereka sendiri,” katanya.
Menurut Anis, kesinambungan dasar bergantung kepada sejauh mana program itu boleh disesuaikan dengan identiti politik menteri baharu kerana budaya pentadbiran Malaysia masih didorong oleh personaliti.
“Dalam sistem kita, dasar kerajaan banyak bergantung kepada siapa yang memimpin kementerian, bukan semata-mata atas dasar untuk rakyat. Jadi, legasi Rafizi ini mungkin akan diteruskan tetapi bukan menjadi tumpuan utama menteri baharu,” ujarnya.
KEMANA HALA TUJU RAFIZI?
PLAN A - KEKAL DALAM PKR
- Langkah paling selamat untuk tetap kekal dalam PKR
- Mainkan peranan secara minimum dan pantau prestasi parti dari masa ke masa
- Jika sokongan dan pencapaian PKR merosot, tekanan akar umbi mungkin membuka ruang untuk Rafizi kembali menonjol dan menerajui semula parti apabila tiba masanya
PLAN B - TUBUH PARTI BARU
- Tiada potensi tubuh parti baru
- Sistem ‘first past the post’ tidak memihak kepada parti kecil jika menubuhkan gerakan sendiri
- Sukar dapat dukungan, melainkan kerjasama dengan parti sedia ada
PLAN C - SERTAI PARTI LAIN
- Terikat dengan Akta Anti Lompat Parti
- Tidak akan mengambil risiko kehilangan kerusi Parlimen untuk kepentingan jangka pendek
- Keputusan bergantung kepada rundingan dengan kepimpinan elit parti dan prospek nyata bagi kerjaya politik beliau dalam tempoh pendek hingga sederhana