UMNO tidak tamak jawatan menteri Kabinet jika berlaku kekosongan

KUANTAN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti itu tidak tamak untuk meminta jawatan menteri Kabinet yang mungkin akan kosong susulan keputusan pemilihan kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, seandainya berlaku kekosongan, perkara itu merupakan hak PKR sepenuhnya.

“Itu hak mereka, kita tidak boleh campur dan kita tahu batas-batas permintaan kita... Saya tidak fikir UMNO begitu tamak untuk memohon jawatan itu diberikan kepada UMNO.

“Kita bersyukur kerana kita sudah ada tujuh menteri daripada UMNO dalam barisan Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Eastern International TVET di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Untuk rekod, pada 10 Mei lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), menegaskan UMNO tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman parti lain, termasuk PKR, dan sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan parti sendiri.

“Saya tidak seharusnya mencampuri urusan parti lain. Sudah tentu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan melakukan sesuatu yang terbaik supaya kerajaan sedia ada dan anggota Jemaah Menteri dapat terus bergerak seiring bagi menjamin pengukuhan Kerajaan Madani,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu PKR, termasuk Nurul Izzah Anwar, dan berharap hubungan antara UMNO dengan PKR melalui kerjasama dalam Pakatan Harapan dan BN dapat dieratkan lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Wan Rosdy sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Usahawan.

Ahmad Zahid merupakan Pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Wan Rosdy sebelum ini juga dilantik sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK). – Bernama