'Azizah saya pilih, Izzah akar umbi pilih' - Anwar jawab isu nepotisme

JOHOR BAHRU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kembali isu nepotisme yang pernah dikaitkan dengan keluarganya dalam kepimpinan parti.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, dakwaan tersebut tidak wajar kerana ketika parti mula bertapak, beliau sedang menjalani hukuman penjara dan isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, terpaksa memikul tanggungjawab memimpin parti dalam keadaan serba kekurangan.

"Bagi pihak Azizah yang memegang benteng kepimpinan PKR agak lama, saya ucapkan terima kasih. Orang bangkitkan isu isteri dan anak, tetapi waktu kita bertempur dulu, PKR tiada kongres, tiada perbincangan panjang.

"Siapa hendak pegang obor waktu itu? Saya lepaskan sahaja kerana saya masuk penjara. Ketika itu, tiada dana, tiada jentera parti. Maka tidak timbul isu keluarga dan nepotisme," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, pada Sabtu.

Anwar menjelaskan, dalam keadaan getir ketika itu, Wan Azizah terpaksa mengambil alih kepimpinan parti, manakala anak mereka, Nurul Izzah, turut meninggalkan pengajiannya di universiti demi membantu perjuangan parti secara aktif.

“Saya bangkitkan perkara ini agar ahli-ahli bertanya kepada mereka yang lama dalam parti. Ketika itu, apa pilihan kita? Siapa yang sanggup pegang obor?

“Azizah memimpin, dan Izzah pula, dalam keadaan terpaksa, tinggalkan universiti dan turun padang ke sana sini sebagai seorang dewasa.

“Ya, Azizah saya pilih pada waktu itu kerana keadaan mendesak. Tapi Nurul Izzah, saudara-saudari yang pilih,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, Anwar menyeru agar seluruh ahli meneruskan perjuangan kerana masa depan parti bergantung kepada komitmen dan kerja keras semua pihak.

“Saya ingatkan, teruskan bekerja. Tiada jaminan masa depan seseorang melainkan dengan kerja dan amal. Saya masih di sini, selagi ada kudrat dan kesihatan yang mengizinkan,” katanya.