JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memperkukuh kawalan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan ahli bagi mengelakkan penularan fitnah yang boleh melemahkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presidennya, Datuk Seri Ramanan Ramachandran berkata, kegagalan mengawal naratif di platform digital boleh memberi kesan besar terhadap kekuatan parti kerana musuh utama kini bukan lagi parti lawan, sebaliknya serangan berunsur fitnah.
“Kelemahan yang kita ada adalah dari segi media sosial, kena lihat betul-betul. Dalam PRU akan datang, kita akan hadapi masalah besar sebab musuh utama dalam negara adalah fitnah. Fitnah ditabur, tiada bukti, tidak diselidik fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penggulungan Kongres Nasional PKR 2025 di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata budaya menyebarkan tuduhan tanpa usul periksa dilihat semakin membarah, termasuk antara sesama ahli parti sendiri.
Ramanan turut menegaskan betapa pentingnya keupayaan parti untuk menyantuni dan menyemak semula setiap maklumat yang diterima, khususnya melalui media sosial, agar tidak mudah termakan hasutan atau maklumat palsu.
“Sekarang kita lihat (fitnah berlaku) antara satu sama lain. Ini satu permintaan – kalau ada apa-apa isu, kita perlu selidik fakta dahulu. Macam Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kalau ada apa-apa (isu), beliau akan tanya terus.
“Bila kita dengar fitnah seperti ini, sangat penting untuk kita baiki. Kita perlu kenal pasti sama ada ia betul atau tidak. Kalau kita tidak baiki, semua fitnah yang dibuat oleh musuh akan menjadi ‘the truth’,” katanya.