JOHOR BAHRU - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengambil pendekatan positif terhadap dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa pemilihan PKR 2025 telah ‘diaturkan’.
Bagaimanapun, katanya, pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR tidak boleh mengabaikan dakwaan tersebut dan perlu menjalankan siasatan menyeluruh.
“Saya faham terdapat beberapa dakwaan dan laporan kepada pihak JPP, termasuk audit antarabangsa yang telah dilakukan. Maka biarlah pihak JPP merujuk kepada proses dan prosedur yang ditetapkan.
“Setiap pemilihan pasti ada percakaran, namun saya ambil secara positif bahawa kita boleh memperbaikinya dan kita juga ambil serius terhadap beberapa aduan.
“Apa yang penting, setiap perwakilan perlu berpandukan maklumat yang sahih, bukan sekadar cerita. Bukan untuk menokok tambah cerita, cuma mohon doa yang baik-baik sahaja kerana kita berdepan banyak cabaran di luar,” katanya.
Nurul Izzah berkata demikian pada sidang akhbar selepas acara Grand Finale Bersama Membina Parti Kita bersama beliau dan Menteri Besar Selangor merangkap Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Tambah Nurul Izzah, beliau sebenarnya telah lama bersedia untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang besar apabila bersetuju untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR kali ini.
“Apabila kita meletakkan nama, kita mesti bersedia dan bertanggungjawab terhadap tanggungjawab yang amat berat ini.
“Ini adalah satu prasyarat yang tidak boleh diambil mudah,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan niatnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sebagai satu keputusan yang ikhlas.
Justeru katanya, menang atau kalah tidak akan menjejaskan hubungan persahabatannya dengan Rafizi.
“Rafizi ialah sahabat saya, bukan hanya dahulu tetapi juga sekarang dan Insya-ALLAH sampai bila-bila.
“Mungkin kaedah dan pendekatan semasa berkempen berbeza, tetapi kalau kita mampu mengatasi ego sendiri, kita tidak perlu suruh orang lain buat – sebaliknya kita harus mula dahulu,” ujarnya.