Pemilihan kali ini pertembungan reformis lawan 'penangguk di air keruh' - Rafizi

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan pemilihan parti bagi penggal 2025 sebagai pertembungan antara kumpulan reformis asal dan pihak yang didakwa menyeleweng daripada prinsip perjuangan parti.

Menurut beliau, hanya kumpulan yang berani dan tegas mempertahankan idealisme asal PKR mampu menghalang parti daripada dikuasai oleh golongan oportunis.

“Pemilihan kali ini sebenarnya adalah pertembungan reformis asal dengan satu kumpulan lain dalam parti.

"Kita semua ini reformis asal, ada yang bersama sejak 1998, 2002 atau 2008.

“Tak kisahlah bila masuk parti, yang penting jiwa kita menolak budaya berebut jawatan, main duit dan kemewahan,” katanya semasa berucap pada program Jelajah Hiruk pada malam Selasa.

Rafizi turut mendakwa, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan selepas parti menang pilihan raya dan bukannya memperjuangkan matlamat asal PKR.

**media[3134382]**

“Dulu kita sangka selepas Langkah Sheraton dan pemilihan 2022, kumpulan ini akan lenyap, tetapi kini mereka menjadi lebih besar.

“Mereka ditambah dengan kumpulan baharu serta golongan pengampu yang kini memegang jawatan,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan rasa simpati terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang didakwa menjadi ‘alat’ kepada kumpulan berkenaan.

Rafizi mengakui kelantangannya menegur kumpulan itu mengundang kritikan, namun menegaskan tindakannya demi menyelamatkan parti.

Beliau juga menyatakan rasa simpati terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang didakwa menjadi ‘alat’ kepada kumpulan berkenaan.

Rafizi mengakui kelantangannya menegur kumpulan itu mengundang kritikan, namun menegaskan tindakannya demi menyelamatkan parti.

Katanya lagi, pemilihan kali ini menjadi tumpuan kerana ia adalah penggal terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui PKR sebagai Presiden.

“Jadi ada yang tak boleh bayangkan selepas ini Anwar bukan Presiden. Kalau Rafizi tak dihalang sekarang, mungkin saya akan jadi Presiden... dan mereka tak mahu itu berlaku,” katanya.