Tiada politik wang dalam PKR - Saifuddin

GEORGE TOWN – Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan wujudnya amalan politik wang dalam parti itu seperti yang dibangkitkan calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menurutnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal berpegang kepada prinsip perjuangan yang diasaskan sejak penubuhannya, dan sehingga kini, tiada bukti kukuh menunjukkan berlakunya pemberian wang secara langsung untuk meraih sokongan ahli.

“Politik wang dalam takrif beri duit untuk dapat sokongan itu, saya tidak fikir PKR sampai ke tahap itu.

“Tetapi kalau guna wang untuk logistik seperti sewa khemah, hotel dan jamuan, itu memang perkara biasa dalam pengurusan kempen,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Penjara Ke-235 di Padang Kota Lama, di sini pada Sabtu.

Saifuddin berkata, perkembangan semasa membuktikan parti kini memiliki keupayaan logistik dan dana yang lebih baik berbanding era awal perjuangan sekitar tahun 1998 dan 1999.

“Dulu Rafizi pun masih belajar. Ketika itu, program dibuat di warung, rumah dan dewan kecil. Sekarang kita ada kemampuan, tetapi saya bersetuju kempen tidak boleh dijalankan secara mewah di hotel lima bintang kerana masyarakat sangat sensitif dengan isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Biro Politik PKR memaklumkan bahawa Lembaga Disiplin parti belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu politik wang setakat ini.

“Jika benar ada bukti berlakunya salah laku seperti itu, saya gesa ahli tampil membuat laporan kepada Lembaga Disiplin. Jangan hanya keluarkan kenyataan tanpa tindakan,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan Rafizi mengakui PKR berdepan risiko politik wang, yang disifatkan sebagai antara bentuk rasuah paling sukar dibuktikan. Beliau turut menyatakan bahawa parti pemerintah juga tidak terlepas daripada risiko penyalahgunaan kuasa.