Ramanan nafi politik wang: “Itu sumbangan kepada pekerja saya”

SHAH ALAM – Calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R Ramanan menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan politik wang untuk membeli sokongan individu tertentu sempena pemilihan parti itu.

Menurut beliau, rakaman video yang tular sebenarnya berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor dan sumbangan yang diberikan adalah kepada pekerja kempennya sendiri, bukan kepada pengundi.

“Saya beri wang kepada pekerja saya di luar pusat khidmat. Kalau kita lihat, pintu itu ada logo Pakatan Harapan, jadi apa salahnya?” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Asas Keusahawanan Tekun Nasional di sini, pada Sabtu.

Ramanan turut mengecam penyebaran video tersebut yang didakwanya berniat jahat untuk mencemar imejnya serta menyifatkannya sebagai satu bentuk fitnah.

“Politik kotor sebegini sangat teruk. Ini fitnah, dan dalam Islam, fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh. Harap mereka belajar sedikit, kerana budaya fitnah ini sangat tidak baik,” tegasnya.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, isu berkenaan sengaja diungkit kembali walaupun ia berlaku lama dahulu, dan tidak membabitkan sebarang pelanggaran undang-undang pilihan raya.

“Ini bukan isu baharu. Disebabkan sekarang musim pemilihan parti, maka banyak perkara akan diputar belit dan disalah tafsir,” jelasnya.

Beliau juga menyifatkan tindakan memanipulasi situasi tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saya tahu siapa yang buat kerja-kerja nakal ini dan mereka sendiri tahu siapa mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, tular di TikTok sebuah video berdurasi 34 saat yang menunjukkan Ramanan memberikan wang kepada seorang individu di hadapan sebuah premis sebelum beredar.

Mengulas dakwaan kononnya beliau ‘dipopularkan’ oleh seorang calon Timbalan Presiden PKR melalui serangan berterusan, Ramanan menolak tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.

“Kenapa dia terlalu taksub dengan saya, sedangkan saya hanya bertanding jawatan Naib Presiden, bukan Timbalan Presiden. Seolah-olah saya ini kekasih yang telah melarikan diri,” sindirnya.

Mengenai tuduhan bahawa beliau membawa ‘budaya lama’ ke dalam PKR, Ramanan enggan mengulas lanjut atas dasar menghormati peraturan parti.

“Saya tidak boleh jawab soalan itu kerana ia mungkin melanggar kod peraturan parti. Kita tidak boleh serang sesama ahli, kerana kita ada disiplin,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pemilihan parti bukan medan mencetuskan konflik, sebaliknya satu platform untuk memperjuangkan suara akar umbi dan memperkenalkan pendekatan politik matang.

“Ini pemilihan parti, bukan pilihan raya umum. Kita perlu turun padang, dengar rintihan ahli, bukan naik pentas untuk menjerit dan kutuk orang,” tegasnya.

Katanya lagi, pentas pemilihan sepatutnya menjadi ruang untuk membawa idea yang membina, bukannya menyerang individu secara peribadi.

“Kalau nak naik pentas, bawalah fakta dan cadangan yang bermanfaat untuk parti. Jika hanya untuk menghina dan mencaci, itu bukan budaya parti kita,” katanya.