PH Johor sedia bincang kerjasama politik hadapi PRN - Nie Ching

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor menyatakan keterbukaan untuk mengadakan perbincangan berhubung kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching berkata, setakat ini belum ada tarikh ditetapkan bagi PRN tersebut meskipun khabar angin mengenainya semakin hangat diperkatakan.

“Bagi PRN negeri, saya tidak pasti bila ia akan diadakan. Namun, kami sentiasa bersedia dan terbuka untuk pelbagai perbincangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Johor 2025 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, selaku Pengerusi DAP Johor, Nie Ching menegaskan PH Johor kekal berperanan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dengan memainkan fungsi semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, DAP tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan negeri, selaras dengan pendirian yang diumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Konvensyen DAP Johor tahun lalu.

“Sejak awal lagi kami telah nyatakan pendirian dengan jelas. Kami bukan sebahagian daripada kerajaan negeri dan tidak menuntut sebarang jawatan.

“Sebaliknya, kami akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan memberi teguran serta cadangan membina demi kepentingan rakyat,” katanya.

Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi menambah, wakil rakyat PH Johor masih bekerjasama secara profesional dengan kerajaan negeri, khususnya dalam isu berkaitan bajet dan dasar kebajikan.

“Kami sentiasa mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri, terutama dalam aspek yang memberi manfaat kepada rakyat Johor,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan pergolakan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen Kulai itu menolak dakwaan bahawa ia boleh menjejaskan kedudukan PH Johor.

“Saya tidak fikir begitu kerana pemilihan parti adalah perkara biasa.

“Kadangkala perhatian lebih diberi kepada isu-isu tertentu, namun secara keseluruhan, kami merupakan gabungan yang matang,” jelasnya.

Terdahulu, beberapa pimpinan politik negeri menjangkakan PRN Johor mungkin diadakan seawal tahun hadapan, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan parti mengenai kerjasama sama ada bertanding secara solo atau menerusi Kerajaan Perpaduan.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali turut menjangkakan PRN boleh berlaku seawal-awalnya pada awal tahun depan.

Bagaimanapun, tempoh penggal pentadbiran negeri Johor hanya akan berakhir pada Mac 2027, dan tarikh PRN akan ditentukan mengikut peruntukan perlembagaan negeri, bukannya berdasarkan spekulasi.

Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dua pertiga dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pakatan Harapan memenangi 11 kerusi, Perikatan Nasional tiga kerusi, manakala PKR dan Muda masing-masing meraih satu kerusi.