PRN Sabah: 'Sepatutnya GRS-PH-BN, bukan BN-PH plus'

KOTA KINABALU - Cadangan nama gabungan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lebih tepat adalah Gabungan Rakyat Sabah (GRS)–Pakatan Harapan (PH)–Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Gerakan Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kemungkinan kerjasama antara beberapa parti selain BN dan PH Sabah, yang dinamakan sebagai BN–PH Plus.

"Ini jelas menunjukkan Presiden UMNO masih tidak dapat menerima hakikat bahawa UMNO-BN di Sabah sebenarnya telah hilang sokongan di Sabah.

"Cadangan nama yang lebih tepat sekiranya GRS bersama adalah GRS-PH-BN dan bukannya BN-PH plus plus plus," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau lagi yang juga aktivis politik tempatan, Sabah ketika ini terbentuk hasil kerjasama GRS-PH dan sudah tentu dari segi pembahagian kerusi yang lebih utama adalah GRS, PH dan bakinya adalah BN.

"Kenyataan Ahmad Zahid meletakkan nama BN di hadapan merujuk kepada BN-PH plus plus plus secara jelas menunjukkan keinginan beliau mahu melihat parti UMNO kembali dominan di Sabah sedangkan hakikat sebenar rakyat Sabah, secara total telah menolak parti ini di Sabah.

"Pertembungan antara GRS dan BN pada PRN17 juga amat sukar dielakkan dan sudah tentu UMNO-BN akan berhadapan dengan tentangan luar biasa dari GRS.

"Dapatan kajian di lapangan oleh dua badan bebas setakat ini juga secara jelas menunjukkan hampir 72 peratus sokongan berpihak kepada GRS berbanding 28 peratus kepada BN," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan rekod pada PRN16, UMNO-BN bertanding di 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tetapi hanya menang 14 kerusi.

"Momentum penolakan rakyat ini sebenarnya dilihat akan berterusan menjelang PRN17 ini," katanya.