KOTA BHARU - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan semua pihak supaya tidak mengamalkan politik wang sepanjang tempoh berkempen untuk pemilihan parti ketika ini.
Menurut beliau, mana-mana parti yang berada dalam kedudukan kerajaan tidak boleh menolak risiko berlakunya penyalahgunaan kuasa.
"Perkara itu memang benar-benar ada dan kita kena akui. Jangan sesekali cuba tipu rakyat kononnya kita bebas sepenuhnya daripada risiko tersebut, kerana rakyat sudah tidak mudah percaya.
"Rakyat hari ini sudah celik dan mampu menilai sendiri perilaku calon dan parti ketika berkempen, khususnya apabila berlaku perubahan ketara dalam cara majlis atau program politik dijalankan.
"Kalau dulu buat majlis pun dekat dewan biasa, kadang-kadang jumpa dekat kedai kopi, tapi sekarang boleh buat makan besar di dewan penuh...siapa yang bayar semua itu? Itu persoalan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Kelantan dan Terengganu di Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini pada Jumaat malam.
Beliau menegaskan bahawa politik wang merupakan satu bentuk salah laku yang sukar dibuktikan secara sah kerana kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima tidak akan mengaku.
Ujarnya, selain itu peringatan turut diberikan kepada parti-parti lain yang belum pernah berada dalam kerajaan Persekutuan.