GRS perlu 40 kerusi DUN untuk agih kepada koalisi

SHAH ALAM - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi bayangan sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diagihkan kepada koalisi itu sekiranya mana-mana parti lain mahu mengadakan kerjasama politik bersama mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Ketua Pemuda GRS, Jonnybone Kurum berkata, bagaimanapun perkara itu masih belum dimuktamadkan sehingga mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) tertinggi yang berkemungkinan diadakan selepas Pesta Kaamatan.

“Pembahagian kerusi belum ditetapkan cuma parti komponen dalam GRS pembahagian kerusi masing-masing untuk dibentang dalam mesyuarat.

“Tapi bayangan yang saya dapat daripada Ketua Menteri sepanjang saya dipanggil untuk berkongsi pandangan ialah GRS akan bertanding 40 kerusi.

“Antara perkara lain akan dibincangkan adalah syarat-syarat kerjasama dengan parti lain. Setakat ini, kita tiada perancangan untuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), kita cuma mengiktiraf kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Pada Khamis, BN menyatakan keterbukaannya untuk mengadakan perundingan dengan parti-parti politik lain di Sabah selain GRS bagi PRN nanti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun pembetukan ‘Gabungan Mega’ belum dimuktamadkan, namun parti itu sedang giat meneroka beberapa kemungkinan termasuk kerjasama BN-Pakatan Harapan (PH) Plus dan tidak tertakluk kepada satu atau dua gabungan sahaja.

Sementara itu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berpendapat, selama ini pihaknya hanya selesa mengadakan kerjasama dengan PH.

Jelasnya, jika ada keinginan untuk menambah kerjasama dengan parti lain seperti BN, GRS perlu mengadakan perbincangan bersama parti komponen sebelum membuat keputusan.

“Pandangan semua komponen perlu diambil kira dan ia sangat penting.Tetapi buat masa sekarang, berdasarkan pengetahuan saya, tiada lagi BN menghubungi parti untuk mengadakan kerjasama,” katanya.