'Masuklah Pas, YB akan diangkat’ – Rafizi dedah terima mesej pelawaan

KOTA BHARU - “Saya dapat banyak mesej, ‘YB, saya simpati dengan YB, percayalah hanya dalam Pas... YB akan diangkat'."

Itu antara perkongsian Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, yang mendedahkan beliau menerima banyak pelawaan untuk menyertai parti lain susulan pelbagai insiden yang berlaku sepanjang kempen pemilihan PKR.

“Terima kasihlah, sama ada parti Pas atau mana-mana parti lain, saya tidak berminat. Saya hanya kenal satu parti. Saya dalam parti ini, tunggang-langgang bukan sebab jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) Kelantan dan Terengganu di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini pada Jumaat malam.

Menurut beliau, pelawaan tersebut datang daripada orang ramai dan baginya itu perkara biasa kerana dalam program seperti itu, penonton bukan hanya daripada PKR tetapi juga daripada Pas, UMNO, rakyat biasa dan pembangkang.

Ujarnya, ramai terlupa bahawa sebahagian besar penyokong Pas pernah mengikuti ceramah beliau dengan dekat suatu ketika dahulu.

Rafizi menjelaskan, khususnya semasa Pas bersama PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat, beliaulah yang banyak membongkar isu dan skandal yang mendapat perhatian rakyat.

Tambahnya, hal itu menjadikan beliau popular dalam kalangan pengundi Pas yang mengenali perjuangannya sejak dulu.

“Bila mereka tengok keadaan saya begini, memang akan ada yang menghantar mesej mencuba nasib. Sama ada saya berminat atau tidak, itu cuma pandangan rakyat biasa, penyokong.

“Saya tidak rasa mana-mana parti cuba campur tangan. Saya hormati semua parti, kecuali Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) sahaja yang nak tulis warkah untuk Izzah (Nurul Izzah Anwar). Yang lain saya tengok sangat berdisiplin dan bersopan, tidak ada campur tangan dalam pemilihan PKR ini,” katanya.