Bakal PM patut tampil berdebat - Penganalisis politik

SHAH ALAM – Mana-mana calon yang disebut-sebut sebagai bakal perdana menteri disarankan tampil ke hadapan dalam sesi debat terbuka bagi membuktikan kewibawaan serta kesediaan mereka memimpin negara secara matang dan berprinsip.

Pensyarah UCSI University, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, amalan debat politik wajar dijadikan norma dalam kalangan pemimpin masa depan berbanding budaya ceramah konvensional atau 'pasar malam' yang dianggap ketinggalan zaman dan bersifat sehala.

“Calon perdana menteri masa depan perlu mempunyai perbahasan yang matang dan ia harus menjadi satu kemestian,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pertembungan antara dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, kedua-dua calon itu sememangnya sesuai dan layak untuk menjadi pemimpin masa depan negara, menjadikan debat antara mereka sebagai satu keperluan penting dalam membentuk wacana politik Malaysia yang lebih progresif.

Dalam pada itu, Mohd Tajuddin mencadangkan agar sesi debat tersebut merangkumi 10 soalan utama yang dirangka secara seimbang.

“Tiga soalan mengenai parti, tiga lagi menyentuh persediaan dan strategi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, manakala empat lagi melibatkan isu negara seperti mitigasi konflik kaum dan agama, media sosial serta kebebasan bersuara, pemikiran semula terhadap ekonomi, dan hala tuju sistem pendidikan negara.

“Ini merupakan peluang untuk PKR dan kedua-dua calon menetapkan penanda aras amalan politik matang di negara ini, selain menjadi platform untuk menonjolkan kekuatan serta keunikan kepimpinan parti,” katanya.

Cadangan mempertemukan Rafizi dan Nurul Izzah dalam satu sesi perdebatan terbuka sebelum ini dilontarkan oleh pemimpin PKR sebagai sebahagian daripada langkah persediaan untuk parti membuat keputusan berkaitan jawatan Timbalan Presiden.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi telah menyatakan kesediaannya untuk tampil dalam sesi debat, sambil menyifatkannya sebagai langkah untuk meredakan ketegangan susulan persaingan sengit satu lawan satu bagi jawatan tertinggi tersebut.

Bagaimanapun, setakat ini Nurul Izzah masih belum memberikan sebarang komitmen terhadap cadangan itu, selain memilih untuk menumpukan perhatian kepada kempen bertemu perwakilan secara langsung sebagai pendekatan bagi merapatkan jurang serta menenangkan suasana dalaman parti.