Calon Timbalan Presiden: Rafizi jelajah negeri bermula Ahad

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan telah menghantar borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025–2028.

Rafizi berkata, seperti yang dinyatakan sebelum ini, beliau mengalu-alukan penyertaan mana-mana calon lain sebagai manifestasi semangat demokrasi dalam parti.

“Saya bersama rakan-rakan akan turun ke negeri-negeri untuk bertemu anggota parti secara langsung, berkongsi pandangan dan menampilkan perancangan kami seterusnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, siri jelajah sempena pemilihan parti kali ini akan membawa semangat Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (Hiruk), sebuah inisiatif yang digerakkan bagi memastikan PKR kekal berpegang kepada idealisme reformasi, khususnya ketika berada dalam tampuk pemerintahan negara.

Jelajah Hiruk pertama dijadual berlangsung pada Ahad, 11 Mei 2025, jam 9 malam, bertempat di Klana Grand Ballroom, Seremban.

Tambah beliau, jelajah itu juga menjadi platform untuk mendengar suara akar umbi dan memperkukuh penyatuan anggota menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Saya mohon doa dan dokongan semua agar kita terus hidupkan semangat reformasi, walau dalam ujian kuasa,” ujarnya.

Terkini, jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandang Rafizi turut dicabar oleh bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.