Label ‘parti anak beranak’ ulang serangan lapuk - Nurul Izzah

SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menyifatkan label ‘parti anak beranak’ yang dilemparkan terhadap dirinya dan parti sebagai retorik lama yang sering digunakan untuk memperlekeh perjuangan reformasi sejak 1998.

Menurut beliau, tuduhan itu bukan perkara baharu dan sudah digunakan sejak awal penubuhan PKR ketika dirinya bersama pemimpin-pemimpin awal memperjuangkan agenda reformasi.

“Ketika saya menang jawatan Naib Presiden dengan undian tertinggi pada 2010, 2014 dan 2018, serangan sama tetap dilontarkan.

"Pada 2022, saya tidak bertanding kerana memilih untuk memberi tumpuan kepada gerakan Ayuh Malaysia, memperkenalkan dasar-dasar seperti TVET dan perubahan iklim demi kehidupan rakyat yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, walaupun tidak menawarkan diri untuk bertanding, label tersebut tetap digunakan oleh pihak tertentu yang cuba membina naratif nepotisme terhadapnya.

“Sekiranya saya memilih untuk kekal bertanding kali ini, label itu tetap akan dilemparkan. Namun, saya tetap berkhidmat, Insya-ALLAH, kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka dan mendapat mandat daripada akar umbi bukan satu bentuk nepotisme,” katanya.

Tambah beliau, pertandingan yang diundi oleh ahli parti merupakan lambang demokrasi yang perlu dipertahankan dalam PKR.

“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan rasional dapat membezakan antara nepotisme iaitu pelantikan oleh ahli keluarga dan pertandingan terbuka yang dipilih oleh akar umbi,” tegasnya.

Mengulas mengenai pendiriannya sebelum ini, Nurul Izzah berkata, beliau pernah menolak tawaran untuk menyertai Kabinet selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Saya menolak lantikan sebagai menteri kerana Kabinet ketika itu turut dianggotai oleh ibu saya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selaku Timbalan Perdana Menteri.

“Malah, saya juga meletak jawatan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana menolak kegagalan kerajaan ketika itu untuk memastikan pembangkang memegang jawatan Pengerusi PAC,” katanya.

Pemilihan PKR dijangka berlangsung hujung bulan ini, dengan jawatan Timbalan Presiden antara yang dijangka mencuri tumpuan susulan beberapa pencalonan daripada tokoh muda dan pemimpin kanan parti.