KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk bertanding secara solo sekiranya kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dimuktamadkan.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri.
“Kita berpegang kepada prinsip bahawa kerajaan negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat, tanpa mengetepikan peranan serta kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.
“Sekiranya keputusan muktamad PH dan BN adalah untuk bekerjasama dalam PRN akan datang, maka GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang sehaluan.
“Menyimpang daripada prinsip ini bermakna kita mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, apa yang diperjuangkan oleh GRS adalah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah.
“Seperti yang sering saya tekankan, kerajaan negeri hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Mengenepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” tegasnya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, GRS akan mengadakan mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju gabungan ini dalam menghadapi PRN yang akan datang.
“GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka,” katanya.
Sebelum itu, PH dan BN dilaporkan telah mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN ke-17 Sabah.
Perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.