SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengesahkan bakal bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden selepas namanya dicadang dan disokong akar umbi serta pimpinan parti.
Setakat jam 4.10 petang, nama anak sulung kepada Presiden PKR itu terpapar pada sistem pencalonan pemilihan antara jam 3.30 hingga 4 petang, menjadikan beliau individu pertama mencalonkan diri bagi jawatan tersebut.
Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut berkata, label 'parti anak-beranak' yang meniti di bibir masyarakat sejak kebelakangan ini bukan serangan baharu, sebaliknya ia sudah lama berlaku sejak 1998 dan digunakan untuk memperlekeh perjuangan reformasi.
"Ketika saya menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada 2010, 2014 dan 2018, serangan sama tetap dilemparkan. Hanya pada 2022 sahaja saya tidak bertanding, tetapi fokus serta menyokong pergerakan Ayuh Malaysia.
"Hakikatnya, jika saya memilih untuk kekal bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap digelar begitu. Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat.
"Insya-ALLAH kerana saya yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme, sebaliknya asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, ramai penganalisis politik melihat fenomena itu memberi isyarat jelas bahawa Nurul Izzah mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti untuk memegang jawatan nombor dua dalam parti.
Pencalonan Nurul Izzah mendapat sokongan ramai pemimpin PKR termasuk Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Hamid.
Bercerita lebih lanjut, anak sulung kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memaklumkan, beliau sempat meletak jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) pada 2018 lalu dan menolak untuk dilantik sebagai menteri ketika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurutnya, ia lantikan Perdana Menteri yang mana ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dianggotai ibunya sendiri selaku Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Malah, sekiranya menang jawatan Timbalan Presiden (PKR) sekalipun, saya tidak berminat dengan jawatan kabinet. Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan diundi akar umbi.
"Justeru, saya percaya nadi kekuatan parti sentiasa terletak pada cabang dan jentera akar umbi. Selama lebih dua dekad, pimpinan serta anggota di peringkat cabanglah yang menjadi tulang belakang parti, saya amat menghargai pengorbanan ini.
"Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kita perlu melangkah dengan strategi yang lebih tersusun, menyeluruh dan berpaksikan kekuatan bersama.
Sekiranya dipilih kelak, misi utama saya ialah saling berusaha serta bekerja bersama anggota, penyokong serta sukarelawan di peringkat cabang khususnya di 50 kerusi marginal," ujarnya lagi.