SHAH ALAM - Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Mustaffa Kamil Ayub membuat kejutan apabila kembali merebut jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mencabar 10 nama besar lain.
Menurut sumber, nama ahli politik asal Pasir Salak, Perak itu terpapar pada sistem pencalonan pemilihan setakat jam 12.30 tengah hari, menjadikan jumlah keseluruhan calon yang bertanding bagi jawatan sama seramai 11 orang.
Antara individu lain yang bertanding merebut jawatan Naib Presiden PKR ialah penyandang jawatan itu sendiri iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Enam lagi calon ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Timbalan Ketua Penerangan I PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan; serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Turut menyertai saingan ialah Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abun Sui Anyit, Hee Loy Sian dan R. Yuneswaran.
Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat dibuka selama dua hari bermula jam 12 tengah malam tadi (8 Mei) hingga jam 11.59 malam ini.
Selain itu, seramai 70 ahli mencalonkan diri bagi merebut tempat dalam MPP PKR.