BN, PH sepakat kerjasama hadapi PRN Sabah

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.

"Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama antara kepimpinan PH serta BN Sabah.

"Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kedua-dua kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan," katanya ringkas dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat.

Sebelum ini, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, kerjasama politik di negeri itu akan melibatkan ‘BN, PH plus’ untuk membina kesepakatan yang utuh.

Ditanya mengenai kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau berpandangan, BN sentiasa terbuka untuk menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik kerana parti tersebut mengamalkan prinsip ‘membuka pintu seluas-luasnya dan tidak menutup pintu serapat-rapatnya’.

Terbaharu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, belum ada keputusan muktamad berhubung kerjasama dan agihan kerusi melibatkan partinya menjelang PRN17.