Pemilihan PKR: Dua MB antara 10 calon rebut jawatan Naib Presiden

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menunaikan hasrat masing-masing untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini.

Menurut sumber, setakat jam 12 tengah malam Jumaat, nama kedua-dua pemimpin itu terpapar pada sistem pencalonan pemilihan.

Selain itu, seramai 67 ahli mencalonkan diri bagi merebut tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Dengan pencalonan Amirudin dan Aminuddin, difahamkan sehingga sekarang terdapat 10 nama yang bakal bertanding merebut jawatan Naib Presiden.

Antara individu dimaksudkan ialah penyandang jawatan itu sendiri iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Enam lagi yang turut bersaing ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Timbalan Ketua Penerangan I PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Turut menyertai saingan ialah ahli MPP PKR, Abun Sui Anyit, Hee Loy Sian dan R Yuneswaran.

Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat dibuka selama dua hari bermula jam 12 tengah malam tadi (8 Mei) hingga jam 11.59 malam ini.