SHAH ALAM - Malaysia masih berdepan cabaran besar dalam membudayakan aspek penerimaan masyarakat dan budaya politik sedia ada terhadap cadangan pelantikan golongan wanita sebagai pemimpin tertinggi negara.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, hal ini berlaku kerana masih ramai terikat dengan pemikiran lama dan sempit yang beranggapan hanya lelaki layak menjadi perdana menteri.
“Praktis atau legasi ini seolah-olah menjadi budaya yang wajib diguna pakai dan menjadi penghalang untuk wanita dilantik menjadi perdana menteri.
“Padahal banyak negara sudah mengiktiraf peranan wanita sebagai pemimpin utama negara termasuk Indonesia, Thailand, Singapura, India, Pakistan dan Filipina,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin berkata, Malaysia perlu bergerak ke hadapan dalam mengiktiraf kemampuan wanita untuk memimpin dan berkeupayaan menjadi perdana menteri asalkan memenuhi syarat kelayakan dan kepimpinan.
“Malaysia tidak boleh hanya melaung slogan ‘Malaysia untuk semua’ tetapi apabila masuk hal politik kita menolak peranan wanita sebagai calon pemimpin negara. Tindakan itu seolah-olah mengembalikan kita kepada zaman gelap atau jahiliah.
**media[3117511]**
“Peranan wanita sebagai pemimpin utama negara perlu dipandang secara positif demi memastikan kestabilan dan kelestarian politik Malaysia,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden PKR, Mohamad Hafis melihat idea itu sebagai langkah strategik yang bukan sahaja mengangkat imej parti tetapi berpotensi mengubah corak politik tanah air ke arah lebih progresif dan inklusif.
"Langkah itu memberi isyarat jelas bahawa PKR bersedia memperkasakan penyertaan wanita dalam barisan kepimpinan tertinggi berbanding parti lain di negara ini,” ujar beliau.