KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang menyambut baik pelancaran Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) dianggotai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari lima negeri, Rabu lalu.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, KDPP yang turut disertai tiga organisasi masyarakat sivil bertujuan melaksanakan reformasi institusi dan mengukuhkan tadbir urus demokratik peringkat negeri.
Menurutnya, penubuhan kaukus itu antara lain bagi memastikan perkara-perkara dasar seperti pengagihan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF), pendanaan politik, peranan semak dan imbang di negeri-negeri dapat dilaksanakan secara telus dan adil tanpa mengira parti.
"KDPP pada hemat saya kesinambungan kepada beberapa inisiatif reformasi institusi yang telah bermula di Parlimen sejak 2018.
"Mulai 2018, banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) ditubuhkan dan tidak lagi terhad kepada dua atau tiga JKPK sedia ada selain Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, ketika ini, selain PAC, terdapat sepuluh JKPK meliputi semua portfolio kementerian-kementerian yang dianggotai ahli parlimen rentas parti.
"Jawatankuasa yang sekretariatnya diuruskan pegawai-pegawai Parlimen mempunyai kedudukan rasmi dan sebahagian daripada proses membuat keputusan.
"Selain itu, terdapat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) iaitu platform ahli Parlimen yang berdaftar," katanya.
Tambah beliau, terdapat tujuh APPGM diwujudkan ketika ini iaitu berkaitan dasar pelarian, matlamat pembangunan mampan, pendanaan politik, integriti, governans dan antirasuah, pengurusan risiko bencana, hak kanak-kanak serta keharmonian kaum dan agama.
"Selain itu, terdapat satu lagi platform ahli parlimen rentas parti, iaitu Kaukus.
"Terdapat dua Kaukus diwujudkan ketika ini iaitu berkenaan Palestin dan mineral kritikal," ujarnya.
Jelas beliau, kebanyakan APPGM dan Kaukus turut dianggotai pelbagai organisasi masyarakat dan ahli profesional yang berkaitan.
"Kewujudan JKPK, APPGM, Kaukus Parlimen dan kini KDPP amat penting dari segi reformasi institusi secara khusus untuk memperbaiki struktur dan proses membuat undang-undang dan pelbagai keputusan.
"Ia juga amat penting dalam usaha reformasi politik dan demokrasi
yang menyeluruh di mana satu daripadanya aya tulis sebagai Politik Baru iaitu mematangkan demokrasi Malaysia sehingga wujud manhaj demokrasi pelbagai kaum dan moderat," katanya.
Menurutnya, platform-platform tersebut signifikan untuk perundingan dalam merangka dasar, program dan menyelesaikan masalah dengan fakta dan bijaksana.
"Ia juga signifikan untuk membawa politik ke arah pertengahan dan
mengurangkan perbezaan-perbezaan yang terlalu tajam," ujarnya.
Sementara itu, Saifuddin turut mengucapkan tahniah kepada diucapkan kepada ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim (Amanah) dan ADUN Beserah,Datuk Andansura Rabu (Pas) yang dilantik sebagai Pengerusi Bersama KDPP.
Lima negeri yang diwakili dalam kaukus itu terdiri Johor, Selangor, Kelantan, Perak dan Pahang.