Nasib MCA, MIC menjelang PRU16

SHAH ALAM - Rasa tidak puas hati dalam kalangan parti-parti komponen BN terus dibangkitkan selepas lebih dua tahun koalisi itu menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dianggotai empat parti komponen terdiri UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), BN kini dilihat semakin selesa mengadakan kerjasama dengan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama parti tunjangnya, Pakatan Harapan (PH).

Mencatatkan kejayaan dalam beberapa siri keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri pada tahun 2024, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan bayangan koalisi itu akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16.

Bagaimanapun, perkembangan politik terkini tanah air telah menyaksikan MCA menyuarakan rasa tidak puas hati dengan sikap BN diterajui UMNO yang terus menangguhkan keputusan yang jelas mengenai hala tuju mereka.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, MCA memberi BN lebih daripada dua tahun untuk penyusunan semula selepas PRU15, tetapi ketidakpastian yang berterusan dalam keputusan BN menyebabkan ahli MCA berasa ragu-ragu dan kecewa.

**media[3106946]**

Tahun lalu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan pernah meluahkan kekecewaan berhubung layanan yang diberikan terhadap partinya dalam gabungan BN.

Beliau mendakwa kepimpinan BN gagal membela parti-parti komponen seperti MIC dan keadaan itu tidak seperti PH yang berusaha menjaga kepentingan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Mengulas situasi terkini nasib MCA dan MIC dalam koalisi BN, bekas Setiausaha BN Pulau Pinang, Azizi Safar berpandangan isu ketidakpuasan hati diutarakan kedua-dua parti berkenaan hakikatnya sudah berlarutan selepas kekalahan kerajaan BN pada PRU14.

Sudah menjadi rahsia terbuka UMNO selama ini mengawal hala tuju politik BN dengan parti-parti komponen lain sekadar menjadi ‘pak turut’, beliau turut berpandangan dakwaan layanan dwistandard UMNO terhadap MCA dan MIC sebenarnya hanya ditimbulkan setelah hak kepentingan politik parti masing-masing semakin terancam.

“Bagi saya, isu sebenar ketidakpuasan hati MCA dan MIC terhadap BN hanyalah bersandarkan isu perbincangan agihan kerusi pilihan raya serta pelantikan jawatan-jawatan penting politik dalam kerajaan.

“Sebagaimana UMNO tidak bersetuju bergabung dengan PN untuk membentuk kerajaan pasca PRU15 disebabkan bimbang agihan kerusi pilihan raya akan semakin berkurangan, begitu jugalah dilema dihadapi MCA dan MIC jika UMNO teruskan kerjasama dengan PH.

“Hakikatnya, MCA ketika ini bukan merajuk UMNO kawan dengan PH, tetapi MCA merajuk sebab kemungkinan besar tidak dapat tambah kerusi pilihan raya jika formula status quo diguna pakai pada PRU16,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azizi, sekali pun MCA atau MIC bertindak nekad untuk keluar dari BN, Azizi yakin kedua-dua parti kaum Cina dan India itu akan lebih rela bergerak sendirian berbanding menyertai gabungan PN.

“Mengkaji senario politik semasa dihadapi MCA dan MIC, mana-mana keputusan sama ada keluar BN atau kekal akan merugikan dua parti komponen itu.

“Namun saya masih berpendapat MCA, MIC masih dilihat lebih untung dan relevan jika kekal dengan koalisi sedia ada,” ujar beliau.

Terpinggir

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin meminta MCA dan MIC tidak perlu berasa kecewa dan terpinggir dengan keputusan politik terkini BN bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, inisiatif berkenaan adalah ikhtiar bersama 18 parti yang tidak mendapat undi majoriti pada PRU15 untuk bergembleng tenaga bangkit mendepani PRU16.

“Semua pihak kena beri nilai tambah dalam Kerajaan Perpaduan, jangan jadi pihak perosak kestabilan kerajaan sedia ada.

“Jangan juga sekadar tengok berapa banyak kerusi kita mahu bertanding, tetapi paling penting kena sedar berapa banyak kerusi kita boleh menang pada pilihan raya kelak,” katanya.