'SD ganti Peja tidak pernah wujud'

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Kangsar mengesahkan bahawa akuan bersumpah (SD) untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi Bersatu Perak tidak pernah wujud.

Ketuanya, Dr Hashim Bujang berkata, laporan yang memaklumkan tentang wujudnya SD tersebut tidak benar sama sekali.

“Tak betul sebenarnya. Tak ada pun, saya sendiri pun tak ada tandatangan SD itu, tipu sahaja. Memang tak wujud pun,” katanya ringkas kepada Sinar Harian.

Ditanya sama ada terdapat usaha memecahbelahkan Bersatu Perak, Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Nada sama turut dinyatakan Ketua Bersatu Bahagian Taiping, Kader Maideen Hussain yang menjelaskan bahawa laporan tersebut tidak berasas.

Menurutnya, bukan budaya dalam parti Bersatu mengguna pakai SD untuk lantikan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN).

Sehubungan itu katanya, laporan yang mengatakan bahawa wujud SD daripada ketua-ketua bahagian Bersatu di Perak untuk menukar pengerusi Bersatu sedia ada tidak benar.

“Pelantikan Ketua BPN adalah kuasa penuh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan apa jua keputusan dan pelantikan yang dibuat oleh Tan Sri Presiden, disokong penuh tanpa ada keraguan sama sekali.

“Penyebaran laporan berita tidak benar dan tidak berasas dari sumber yang tidak bernama adalah amat dikesali dan motif portal tersebut boleh dipersoalkan, tiada masa untuk melayani cubaan jahat memecahbelahkan perpaduan dalam Bersatu Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Kader Maideen, kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi Bersatu Perak dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak mendapat mandat penuh dari Muhyiddin yang juga Pengerusi PN di peringkat nasional.

Sementara itu, beberapa ketua Bersatu bahagian lain yang dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai laporan tersebut sebaliknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap isu tersebut.

Pada Selasa sebuah portal berita mendakwa terdapat SD ditandatangani oleh 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak yang meminta agar kedudukan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi negeri dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain.

Tindakan tersebut dilaporkan berpunca daripada rasa tidak setuju terhadap cara Ahmad Faizal memohon pertukaran tempat duduk antara dua wakil rakyat Bersatu, iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Nadziruddin Mohamed Bandi dalam Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, bercakap kepada Sinar Harian, Ahmad Faizal memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan berhubung dakwaan wujudnya SD yang menuntut agar kedudukannya digantikan.

Beliau mengambil pendekatan itu dengan alasan laporan berkenaan, seperti yang disiarkan hanya memetik sumber yang tidak dinamakan.