PRK Ayer Kuning: Kemenangan BN sangkal persepsi Islam, Melayu terancam

KUALA LUMPUR - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan rakyat menolak politik perkauman, kebencian, maki hamun dan mainan persepsi seolah-olah Islam serta Melayu terancam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut terbukti menerusi peningkatan sokongan pengundi Melayu, pelbagai kaum dan kalangan anak muda terhadap UMNO.

Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN termasuk rakan dalam Pakatan Harapan (PH) yang telah bekerja keras memenangkan calon BN.

“Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi DUN Ayer Kuning atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada UMNO dan BN sehingga memungkinkan kemenangan dengan majoriti besar di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kecuali satu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.

Pada PRK Ayer Kuning minggu lalu, calon BN yang diwakili UMNO, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani K S.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa UMNO akan mengadakan Konvensyen Sekolah Patriotik UMNO kali pertama sempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke-79 pada 11 Mei ini di Dewan Tun Hussein Onn.

Menurut beliau, UMNO juga menyokong penjenamaan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi yang akan dimasyhurkan secara rasmi pada 12 Mei ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besar bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” katanya.