PRN Sabah: Kerjasama BN-PH Sabah dijangka diputuskan malam ini

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual berlangsung malam ini (Rabu) dijangka memuktamadkan kerjasama strategik antara parti itu dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Menurut sumber dalaman UMNO, antara perkara penting yang akan dibincangkan termasuk cadangan untuk mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) rasmi antara parti-parti yang akan bekerjasama dalam PRN kali ini.

“Semua akan dimuktamadkan malam ini — wishlist, bentuk kerjasama dan MoU. Isu-isu utama telah dibentangkan kepada kepimpinan tertinggi parti dan pengumuman akan dibuat oleh MKT,” kata sumber kepada Sinar Harian.

Jelasnya, MoU tersebut dilihat penting bagi mengelak berulangnya insiden lompat parti yang pernah menyebabkan UMNO Sabah hampir lumpuh suatu ketika dahulu.

“Kerjasama ini sudah ada persefahaman awal. Tidak ada pertindihan antara BN dan PH, malah PH juga bersetuju dengan agihan kerusi — BN akan bertanding di 40 kerusi, selebihnya PH,” tambahnya.

Pada April lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan kerjasama antara BN dan PH Sabah telah dimuktamadkan sewaktu permukiman parti di peringkat negeri penghujung tahun lalu.

Mengulas lanjut mengenai keperluan MoU, sumber berkata, walaupun Akta Anti Lompat Parti telah dikuatkuasakan pada 2022, masih terdapat kelompongan yang membolehkan wakil rakyat berpaling tadah.

“Kerjasama politik ini perlu ada asas yang kukuh. Jika tidak, kita akan ulang sejarah lalu di mana rakan gabungan yang menang atas tiket parti tertentu melompat dan menyokong pihak lawan, sekali gus menggugat kestabilan,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa dalam konteks gabungan, seperti BN dan PH, Akta Lompat Parti tidak terpakai secara langsung terhadap gabungan tersebut, sebaliknya hanya terhadap parti yang calon tandingi.

“Jadi MoU ini lebih selamat dan bersifat pencegahan awal bagi menjamin kestabilan politik di Sabah,” ujarnya.