IPOH - Laporan kononnya terdapat akuan bersumpah (SD) supaya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diganti adalah tidak berasas.
Ketua Bersatu Bahagian Taiping, Kader Maideen Hussain berkata, bukan budaya dalam parti Bersatu mengguna pakai SD untuk lantikan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN).
Menurutnya, sehubungan itu laporan yang mengatakan bahawa wujud SD daripada ketua-ketua bahagian Bersatu di Perak untuk menukar pengerusi Bersatu sedia ada tidak benar.
"Pelantikan Ketua BPN adalah kuasa penuh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan apa jua keputusan dan pelantikan yang dibuat oleh Tan Sri Presiden, disokong penuh tanpa ada keraguan sama sekali.
"Penyebaran laporan berita tidak benar dan tidak berasas dari sumber yang tidak bernama adalah amat dikesali dan motif portal tersebut boleh dipersoalkan, tiada masa untuk melayani cubaan jahat memecahbelahkan perpaduan dalam Bersatu Perak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kader Maideen berkata, kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi Bersatu Perak dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak mendapat mandat penuh dari Muhyiddin yang juga Pengerusi PN di peringkat nasional.
Pada Selasa sebuah portal berita mendakwa terdapat SD ditandatangani oleh 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak yang meminta agar kedudukan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi negeri dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain.
Tindakan tersebut dilaporkan berpunca daripada rasa tidak setuju terhadap cara Ahmad Faizal memohon pertukaran tempat duduk antara dua wakil rakyat Bersatu, iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Nadziruddin Mohamed Bandi dalam Dewan Undangan Negeri.
Bagaimanapun, bercakap kepada Sinar Harian, Ahmad Faizal memilih untuk tidak memberikan sebarang ulasan berhubung dakwaan wujudnya SD yang menuntut agar kedudukannya digantikan.
Beliau mengambil pendekatan itu dengan alasan laporan berkenaan seperti yang disiarkan hanya memetik sumber yang tidak dinamakan.