PRK Ayer Kuning isyarat kematangan politik, gelombang hijau mula surut?

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu memberikan satu isyarat politik yang cukup penting, iaitu landskap politik Melayu sedang melalui fasa perubahan yang signifikan.

Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, bukan sahaja mempertahankan kerusi tradisi UMNO, malah mencatatkan peningkatan majoriti yang begitu ketara, melebihi 5,000 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru, BN meraih sebanyak 11,065 undi, meninggalkan jauh calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek yang memperoleh 6,059 undi, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS yang meraih 1,106 undi.

Majoriti 5,006 undi ini hampir dua kali ganda berbanding majoriti 2,213 undi yang diperoleh penyandang sebelum ini, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kemenangan itu mencetuskan persoalan sama ada ‘gelombang hijau’ atau sokongan kepada koalisi PN, terutama Pas, kini mula menunjukkan tanda-tanda kemerosotan.

Justeru, sebahagian pemerhati politik berpandangan bahawa keputusan PRK Ayer Kuning mencerminkan kematangan pengundi. Mereka semakin cenderung menilai calon dan kestabilan kerajaan berbanding terpengaruh dengan sentimen retorik 3R (agama, kaum dan raja) yang sering digunakan sebagai bahan kempen oleh sesetengah pihak pembangkang.

Lebih menarik, kemenangan BN ini turut mencerminkan penerimaan yang semakin terbuka dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerjasama BN dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun pernah digelar ‘UMDAP’ oleh lawan politik, kerjasama ini kini dilihat sebagai satu realiti politik baharu yang makin diterima sebahagian besar penyokong akar umbi UMNO.

Kemenangan BN juga disumbangkan oleh faktor pemilihan Mohamad Yusri sebagai calon, yang dilihat sebagai satu keputusan strategik yang tepat.

Sebagai bekas guru dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengajian Islam, beliau membawa imej sederhana dan berwibawa, malah lebih dikenali sebagai ‘Ustaz’.

Pendekatan beliau yang rendah diri dan fokus kepada khidmat masyarakat nyata memberi kelebihan berbanding pendekatan keras dan penuh retorik oleh pesaingnya.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar dan tekanan kos sara hidup yang membelenggu rakyat, pengundi kini lebih cenderung memilih calon yang dilihat mampu membawa penyelesaian, bukan sekadar menyemarakkan perpecahan.

Kemenangan ini sekali gus membuktikan bahawa sokongan terhadap UMNO dalam kalangan orang Melayu masih wujud dan sedang melalui proses pemulihan secara perlahan tetapi konsisten.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa PRK bersifat lokal dan tertumpu, dengan fokus jentera parti dan isu yang lebih mudah dikawal, bukan cerminan mutlak sentimen nasional.

Untuk memastikan momentum ini berterusan hingga ke PRU16, UMNO perlu memperluaskan pendekatan kempen yang lebih sederhana, inklusif dan berteraskan penyelesaian ke seluruh negara.

Jika strategi ini dikekalkan dan diperhalusi, tidak mustahil untuk UMNO kembali menjadi peneraju utama politik negara, bukan hanya di Ayer Kuning, tetapi di seluruh tanah air.