PN hormati keputusan, dakwa undi BN-PH merosot

TAPAH - Perikatan Nasional (PN) Perak menghormati keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang diumumkan malam tadi.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun keputusan tidak memihak kepada PN, pihaknya tetap menzahirkan penghargaan kepada semua pengundi, jentera parti, anggota keselamatan serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terlibat sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

Menurutnya, walaupun kadar keluar mengundi pada PRK kali ini menurun sebanyak 20 peratus, sokongan terhadap PN kekal utuh.

"Sebaliknya, keputusan PRK ini membuktikan bahawa gabungan BN (Barisan Nasional) - PH (Pakatan Harapan) semakin kehilangan kepercayaan rakyat kerana undi gabungan mereka merosot.

"Sungguhpun kemenangan belum tercapai, PN tetap beriltizam untuk terus membela dan memperjuangkan nasib rakyat dengan lebih gigih," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, PN Perak yakin gelombang perubahan yang lebih besar akan tiba berdasarkan semangat dan sokongan rakyat yang semakin kukuh terhadap gabungan itu.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan BN berjaya mempertahankan kemenangan apabila calon mereka, Dr Mohamad Yusri Bakir memperoleh majoriti 5,006 undi menewaskan calon PN, Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.