SHAH ALAM - Pengasas bersama dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tersenarai antara 30 individu berpengaruh dari seluruh dunia dalam Project Syndicate Forward Thinkers List.
Perkara itu diumumkan organisasi media global bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di luar negara terbabit menerusi laman rasmi mereka.
Menurutnya, senarai tersebut bagi mengiktiraf tokoh intelektual yang menyerlah dalam bidang akademik, penggubalan dasar, masyarakat sivil dan sektor swasta.
Project Syndicate memaklumkan, senarai tersebut diwujudkan bagi mengiktiraf tokoh intelektual yang menyerlah dalam bidang akademik, penggubalan dasar, masyarakat sivil dan sektor swasta.
"Individu yang tersenarai terlibat dalam pelbagai isu penting termasuk perubahan iklim, geopolitik, demokrasi liberal serta masa depan kapitalisme.
"Mereka merupakan pemimpin dalam bidang masing-masing dan diyakini mampu memberi sumbangan besar terhadap wacana awam di peringkat negara dan global pada masa akan datang," katanya.
Turut tersenarai, Profesor Ekonomi Universiti Yale, Marina Halac; Profesor Ekonomi Universiti Harvard, Oleg Itskhoki; dan Profesor Dasar Awam dan Kerajaan Universiti Oxford, Yeling Tan.
Menurut organisasi itu lagi, pemilihan akhir dilakukan secara teliti oleh barisan editor mereka, dengan tujuan untuk menonjolkan tokoh yang mampu mencetuskan pemikiran kritis dalam perbahasan politik semasa.
Project Syndicate ditubuhkan pada awal 1990-an dan berperanan menyediakan serta menyebarkan ulasan dan analisis berkaitan isu antarabangsa.
Sepanjang tahun 2024, sebanyak 16,904 ulasan mereka dilaporkan telah diterbitkan di seluruh dunia.