SHAH ALAM - Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad akan merujuk Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa pada Pemilihan PKR 2025.
Beliau mengakui bahawa proses pemilihan yang telus dan adil adalah asas kekuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti reformasi.
"Namun, kami percaya terdapat beberapa isu yang wajar dibangkitkan dan akan menggunakan saluran serta proses parti yang sewajarnya untuk menyuarakan perkara tersebut.
"Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan pemilihan parti dijalankan dengan integriti dan keadilan," katanya di Facebook pada Sabtu.
Pada pemilihan berkenaan Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan tersebut apabila kalah kepada pencabarnya, Datuk Afdlin Shauki.
Afdlin yang juga pelakon dan pengarah filem terkenal memperoleh sebanyak 631 undi manakala Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR, meraih 563 undi.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua yang menyokongnya termasuk jentera dan ahli parti yang berjuang bersamanya sepanjang kempen berlansung.
"Sokongan anda semua amat saya hargai dan akan terus menjadi kekuatan saya dalam meneruskan perjuangan reformasi.
"Kami akan membiarkan proses rayuan berjalan mengikut peraturan dan ruang yang ditetapkan oleh parti.
"Saya kekal komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan perjuangan KeAdilan di semua peringkat," katanya.