NIBONG TEBAL - [DIKEMAS KINI] Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menang jawatan Ketua Cabang Nibong Tebal dalam pemilihan parti yang diadakan pada Sabtu.
Fadhlina yang merupakan Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Nibong Tebal berjaya mendapat 677 undi, selesa menewaskan Muttaqeen Mustafa yang mendapat 335 undi dan Muhammad Navalan Abdullah 72 undi.
Menurut Fadhlina beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli parti PKR Nibong Tebal yang memberi mandat kepadanya untuk memimpin.
"Kemenangan ini adalah satu amanah besar yang perlu dipikul dengan sebaik mungkin.
"Fokus utama pada waktu ini adalah untuk mengukuhkan parti di peringkat cabang dan memastikan Nibong Tebal kekal kubu kuat PKR dalam Pilihanraya Umum ke-16 berpaksikan kebaktian kepada seluruh masyarakat di sini," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Sebelum ini Fadhlina telah mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan.
Sementara itu, Pengerusi Pimpinan PKR Negeri Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar kekal sebagai Ketua Cabang Permatang Pauh apabila menang tanpa bertanding.
Manakala Timbalannya, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menang di Cabang Tasek Gelugor selepas menewaskan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal dengan undian 412 - 319.