SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor memandang serius tindakan kerajaan Selangor menganjurkan satu pertemuan rasmi, Taklimat Khas Insiden Letupan Paip Gas Putra Heights yang berlangsung pada Rabu tanpa melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok Perikatan Nasional (PN).
Insiden membabitkan keselamatan awam, merosakkan puluhan kediaman dan menjejaskan ratusan keluarga ini seharusnya ditangani dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan penglibatan semua pihak, bukan melalui mesyuarat tertutup yang hanya melibatkan pihak tertentu.
ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata, tindakan mengenepikan wakil-wakil rakyat PN mencerminkan satu sikap tidak demokratik yang membelakangi semangat Dewan Negeri Selangor sebagai medan rundingan terbuka.
"Apakah kerajaan negeri cuba menyusun naratif sendiri tanpa diganggu dengan persoalan yang mungkin tidak mereka mahu jawab?
"Atau lebih membimbangkan, adakah terdapat kegagalan agensi atau kecuaian pihak tertentu yang ingin disembunyikan daripada penelitian umum," soalnya lagi dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menuntut agar satu siasatan bebas dan telus dijalankan terhadap insiden ini.
Beliau juga menggesa agar satu sidang khas Dewan Negeri Selangor diadakan bagi membolehkan isu ini dibahaskan secara menyeluruh dan terbuka.
Namun tegas Dr Afif, sehingga kini, kerajaan negeri terus mengelak daripada menyahut seruan tersebut seolah-olah takut kepada pendedahan dan enggan menerima semak dan imbang yang sah.
"Sebagai wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat, kami menegaskan bahawa sebarang usaha membaik pulih kawasan bencana dan memastikan kejadian sebegini tidak berulang mestilah melibatkan semua pihak," katanya.
Tegasnya lagi, tindakan memencilkan blok pembangkang hanya melemahkan kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran negeri, dan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri lebih mementingkan kawalan politik daripada kebajikan rakyat.
"Justeru itu, saya sekali lagi menyokong tuntutan Ketua Pembangkang agar sidang khas Dewan Negeri Selangor diadakan segera.
"Sebarang laporan dan hasil siasatan berkaitan insiden ini mesti dibentangkan secara terbuka kerana rakyat berhak tahu siapa yang bertanggungjawab, apa langkah yang telah diambil, dan bagaimana keselamatan mereka akan dijamin pada masa akan datang," katanya.