SEREMBAN - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat(PKR) Negeri Sembilan kali ini menyaksikan kejutan apabila tiga ahli jawatankuasa tertinggi Majlis Pimpinan Negeri(MPN) parti itu kecundang.
Timbalan Pengerusi MPN, Datuk Muhammad Nazri Kassim yang bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Seremban tewas kepada pencabarnya, Noor Iskandar Mohamad.
Beliau memperoleh 642 undi berbanding Noor Iskandar mendapat 698 undi.
Setiausaha MPN, Aliudin Mohamed Salleh juga gagal mempertahankan kedudukannya selaku Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban apabila hanya memperoleh 277 berbanding pencabarnya N Marimuthu yang mendapat 1,035 undi.
Selain itu, Ketua Wanita PKR yang juga ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim tewas dalam pertandingan merebut Ketua Wanita PKR Cabang Kuala Pilah.
Beliau memperoleh 123 undi berbanding pesaingnya, Norliza Mohamed Thani yang meraih 209 undi.
Sementara itu, seorang lagi ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman pula berjaya mengekalkan jawatan sebagai Ketua Wanita PKR Cabang Seremban apabila menewaskan Normi Bedol.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ampangan itu memperoleh 312 undi berbanding Normi 150 undi.
Sementara itu, bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha menang Ketua Cabang PKR Rembau menewaskan penyandang, Mohd Hafiz Mohamad.
Pemilihan ketua cabang turut menyaksikan Azizah Salim Shah menang di Jempol, Ismail Muhamad Noor (Kuala Pilah), Ahmad Izzudin Ismail yang juga anak kepada bekas ADUN Labu (Rasah), V Raja (Tampin) dan Zainal Fikri Abd Kadir (Jelebu).
Dalam pada itu anak kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, iaitu Mohd Irfan Aminuddin menang jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat Cabang Seremban dengan memperoleh 379 undi mengalahkan pencabarnya S Saatish yang mendapat 76 undi.