Bersih selar pengumuman peruntukan ketika PRK Ayer Kuning

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar pengumuman peruntukan sebanyak RM6.13 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah, termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang kini sedang menghadapi pilihan raya kecil (PRK).

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataannya berkata, penyaluran dana dan projek pembangunan ke kawasan yang sedang berdepan pilihan raya adalah satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan.

“Tindakan seperti ini bercanggah dengan prinsip pilihan raya yang adil dan bersih. Lebih mengecewakan, ia dilakukan oleh pemimpin yang sebelum ini pernah mengkritik amalan sama ketika menjadi pembangkang,” katanya pada Jumaat.

Kenyataan itu merujuk kepada pengumuman peruntukan oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, ketika Program Sentuhan Kasih 3.0 di Tapah Road, pada Khamis, yang melibatkan 33 projek di seluruh Parlimen Tapah termasuk kawasan DUN Ayer Kuning.

Projek-projek itu termasuk menaik taraf tandas awam dan pembangunan infrastruktur.

Bersih menegaskan pihaknya telah memperkenalkan garis panduan ‘3C’ kepada kerajaan sementara sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 melibatkan larangan tiada syarat, tiada kempen, dan tiada penglibatan calon dalam program rasmi kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya.

Jelas Bersih lagi, garis panduan terbabit diwujudkan bagi memastikan jentera kerajaan tidak disalahgunakan untuk tujuan politik semasa tempoh pilihan raya.

"Apa yang diumumkan oleh Menteri KPKT di Tapah jelas melanggar semangat dan tujuan garis panduan tersebut," ujarnya.

Bersih menyifatkan pengumuman berskala besar itu dilakukan dalam konteks kempen pilihan raya dan memberi kelebihan tidak adil kepada parti kerajaan, walaupun pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur adalah keperluan yang sah.

Jelasnya, pengumuman peruntukan semasa tempoh kempen pilihan raya bukan sahaja memberi persepsi pembelian undi secara terselindung, tetapi juga mencemarkan prinsip demokrasi yang sepatutnya menjamin persaingan politik adil dan bersih.

"Rakyat berhak membuat pilihan berdasarkan dasar, integriti dan rekod perkhidmatan, bukan berdasarkan janji projek dan peruntukan yang secara tiba-tiba diumumkan menjelang pilihan raya.

"Malangnya, ini bukan kes terpencil. Bersih melihat siri pelanggaran berterusan terhadap etika pilihan raya yang bersih dan adil oleh Kerajaan Madani khususnya KPKT dalam beberapa pilihan raya sebelum ini," menurut kenyataan tersebut.

Bersih turut melahirkan kekesalan apabila amalan seperti pengumuman projek semasa kempen dan penggunaan sumber kerajaan untuk tujuan kempen telah menjadi corak yang berulang.

"Sekiranya dibiarkan, ia bukan sahaja mencemarkan proses pilihan raya, tetapi turut menghakis keyakinan awam terhadap sistem pilihan raya dan proses demokrasi negara secara keseluruhan," katanya.

Menurut Bersih, PRK Ayer Kuning akan menjadi ujian penting terhadap komitmen kerajaan hari ini kepada reformasi politik dan integriti pilihan raya.

"Sekiranya budaya ‘patronage’ terus dibiarkan, cita-cita untuk membina politik baharu yang bersih dan matang akan kekal menjadi retorik semata-mata," jelas kenyataan tersebut.