PRK Ayer Kuning: Calon BN sudah letak jawatan

TAPAH - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir sudah meletakkan jawatannya sebagai pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh.

Mohamad Yusri yang merupakan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di institusi itu telah menghantar surat peletakan jawatannya pada awal minggu ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini calon BN itu sedang menunggu surat pelepasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"(Mohamad Yusri) sudah letak jawatan. Hari ini (Khamis) dia akan dapat surat pelepasan daripada JPA," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keibubapaan Murid Orang Asli Di Dewan Seri Bitara, Sekolah Menengah Sains Tapah di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai pemilihan Mohamad Yusri sebagai calon, Saarani menjelaskan keputusan tersebut dibuat kerana beliau seorang yang berwibawa.

Katanya, pembangkang akan menggunakan pelbagai isu untuk dimainkan pada PRK kali ini termasuk membuat perbandingan usia calon.

"Umur ini sangat subjektif. Muda bukan pada usia semata-mata, jadi penyokong BN tak perlu berasa gusar dari segi itu sebab yang penting calon saya ini seorang yang berwibawa.

"Beliau akan menyambung tugas yang telah dibuat oleh arwah Ishsam Shahruddin," katanya.

Semalam, Setiausaha Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham dalam hantaran di Facebook meluahkan rasa simpati kepada Pemuda UMNO apabila calon BN dipilih bukan dalam kalangan pemuda.

Pada Isnin, BN mengumumkan Mohamad Yusri, 54, yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Selain BN, Parti Sosialis Malaysia juga mengumumkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS, 40, sebagai calon manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Yang Dipertua Pas Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah meninggal akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pemilih biasa dan 582 anggota polis dan pasangan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.