SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengirim doa kesembuhan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini sedang mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan swasta.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Muhyiddin berkata, beliau mendapat perkhabaran Ismail Sabri sedang menerima rawatan di hospital setelah tidak sedarkan diri di rumahnya pagi tadi.
"Alhamdulillah petang ini saya dimaklumkan keadaan beliau kembali stabil dan telah sedar sepenuhnya.
"Saya mendoakan agar beliau diberi kesembuhan segera dan sihat seperti sediakala, insya-ALLAH,"katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, Ismail Sabri dikejarkan ke hospital swasta di Subang Jaya selepas rebah secara tiba-tiba di kediamannya pagi tadi.
Setiausaha Akhbar beliau, Azran Fitri Rahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.