SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada petang Sabtu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Ahmad Zahid berkata, beliau berdukacita di atas pemergian Allahyarham.
"Menerima perkhabaran duka mengenai pemergian ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Tuan Haji Ishsam Shahruddin yang telah kembali ke rahmatullah petang tadi.
"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan warga Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning atas kehilangan ini,"katanya pada Sabtu.
Beliau turut mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan bersama-sama golongan yang terpilih.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, Al-Fatihah,"ujarnya.
Sebelum ini, Allahyarham Isham dilaporkan rebah tidak sedarkan diri selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.
Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, beliau yang juga bekas pemain bola sepak sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian selepas beraksi bersama bekas pemain kebangsaan lain dari Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Difahamkan wakil rakyat berusia 59 tahun itu dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh rakannya, Mohd Zakaria Mohamad yang juga bekas pemain bola sepak Perak ketika dihubungi media di sini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rozlita Abdullah dan empat orang anak.